Tuan Ibrahim cadang wujudkan Jabatan Keselamatan Empangan

TUAN IBRAHIM
TUAN IBRAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mewujudkan Jabatan Keselamatan Empangan bagi memantau tahap keselamatan semua empangan di seluruh negara yang kini dalam keadaan kritikal.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, peranan jabatan itu penting dengan mengambil kira sebahagian empangan berusia lebih 100 tahun.

“Negara kita tidak ada satu jabatan yang menjaga empangan, yang ada hanya satu skuad dibawah Jabatan Bekalan Air di peringkat NRE (Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).

"Empangan kita kritikal. Bayangkan kalau apa-apa berlaku kepada empangan kita, risiko kematian dan bencana yang sangat dahsyat, yang tidak boleh kita bayangkan.

"Empangan Klang Gate (di Ulu Klang, Gombak) sebagai contoh, kalau berlaku bencana, berapa ribu mangsa akan terjejas. Berapa banyak jutaan harta akan musnah. Maka saya cadangkan satu Jabatan Keselamatan Empangan dapat dibuat,” katanya ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu beliau yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, sudah tiba masanya kewujudan jabatan tersebut disegerakan dan pada masa sama, kerajaan perlu mempercepatkan penubuhan Jabatan Perumahan Iklim di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menangani isu perubahan iklim yang semakin serius.

"Pada November 2021, Empangan Chereh (Pahang) pecah. Empangan ini untuk bekalan air bagi bandar Kuantan. Nasib baik ia tidak pecah di permukaan.

"Pada 7 Januari saya turun dengan pasukan (dapati) ia pecah di bahagian tepi yang menyebabkan aliran air masuk ke ladang kelapa sawit, tidak masuk kawasan perumahan penduduk. Namun hingga hari ini Empangan Chereh masih belum dibaiki," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu mengenai isu bekalan air, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan mengadakan satu rundingan bersama kerajaan negeri bagi menyalurkan peruntukan selain mencadangkan proses mengatasi masalah air tidak terhasil (NRW) diambil alih oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Air bukan lagi keperluan untuk makan minum, tetapi soal keselamatan negara. Maka dengan krisis iklim yang berlaku, bekalan air jadi masalah besar pada masa hadapan.

“Kita perlu pastikan kerajaan Pusat menyediakan sejumlah dana RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun kepada semua operator air negeri untuk proses menukar paip-paip lama, (sudah) tamat tempoh, berusia lebih 40 tahun (dan) menukar tangki,” ujarnya.