'Bila tewas PRU14, patut Pas 'nyak' terus UMNO' - Tuan Ibrahim

Kepimpinan PN merakam kenangan dalam program Grand Finale Perikatan Nasional N13 Simpang Jeram di SBJ Ballroom, Kampung Parit Keroma Darat di Muar pada malam Khamis.
Kepimpinan PN merakam kenangan dalam program Grand Finale Perikatan Nasional N13 Simpang Jeram di SBJ Ballroom, Kampung Parit Keroma Darat di Muar pada malam Khamis.
A
A
A

MUAR - [DIKEMAS KINI] Pas kesal kerana membantu UMNO bangkit selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sepatutnya UMNO tidak dibantu dan dibiarkan begitu sahaja.

Menurutnya, Pas banyak membantu UMNO semasa parti itu lemah dan selepas ditolak rakyat dalam PRU14 sehingga kerajaan UMNO dan BN tumbang.

"Bila UMNO tewas dalam PRU14, sepatutnya Pas yang lawan UMNO sejak belum beranak lagi (tidak bantunya). Bila UMNO tumbang inilah kesempatan untuk kita 'nyak' terus, betul tak?

"Tak perlu kita bantu, tak perlu kita tolong tetapi apa yang berlaku Pas duduk berbincang dengan UMNO. Mari PRK (pilihan raya kecil) kita bantu, kita tolong dia. Ini pada waktu di mana 10 daripada 14 parti komponen BN meninggalkan BN satu persatu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Grand Finale Perikatan Nasional N13 Simpang Jeram di SBJ Ballroom, Kampung Parit Keroma Darat di sini pada malam Khamis.

Turut hadir Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud; Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas kemudian membantu UMNO sehingga memenangi 10, PRK namun apabila sudah merasakan sudah kuat, mereka mula buat masalah.

Artikel Berkaitan:

"Masa PRK dia mula rasa kuat, kita lihat dia mula tukar Menteri Besar Johor daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) kepada UMNO. Kemudian bergerak ke ke Melaka tukar Ketua Menteri Melaka daripada Bersama kepada UMNO.

"Kemudian bergerak ke Perak, buat usul undi tidak percaya kepada Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu), tukar Menteri Besar Perak itu daripada Bersatu kepada UMNO, kemudian bergerak ke Pusat tarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Sementara itu, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung BN dan UMNO berkata, BN kini sudah tidak ada masa depan kerana rakyat sudah tidak dapat menerima mereka lagi.

"Sudah tidak boleh bergantung harap kepada BN yang sudah ditolak rakyat. Kalau rakyat sudah tidak yakin maka yang ada adalah PH (Pakatan Harapan) yang diberikan 22 bulan (memerintah) tetapi gagal," ujar beliau.

Dalam pada itu, Nassuruddin berkata, rakyat perlu bertanggungjawab dengan memilih pemimpin bebas rasuah dan bukannya yang membebaskan perasuah.

Selain itu, beliau mengingatkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Sabtu memilih parti dan calon terbaik iaitu Dr Mazri Yahya daripada PN.