180,000 benih udang karang dirampas

Bungkusan plastik dan kotak berisi benih udang karang dirampas di Jeti Awam Legaran Air Gemuruh, Sedili, Kota Tinggi pada Isnin.
Bungkusan plastik dan kotak berisi benih udang karang dirampas di Jeti Awam Legaran Air Gemuruh, Sedili, Kota Tinggi pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor merampas 180,000 ekor benih udang karang tanpa permit, hasil pemeriksaan dilakukan ke atas bot fiber di Jeti Awam Legaran Air Gemuruh, Sedili, Kota Tinggi di sini pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sepasukan anggota dari Unit Risik Marin Markas Taktikal Pengerang telah menerima maklumat berkaitan sebuah bot fiber yang mencurigakan di jeti berkenaan pada jam 5.30 petang.

Katanya, benih udang karang itu diletakkan di dalam bungkusan plastik dan dimuatkan di dalam 50 kotak gabus berwarna putih.

"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati bot tersebut membawa kotak disyaki mengandungi benih udang karang dari negara jiran yang tidak mempunyai permit yang sah.

"Polis turut menahan lima lelaki warga tempatan yang berumur lingkungan 21 hingga 43 tahun," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Kamarul Zaman, kesemua benih udang karang yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.8 juta manakala nilai bot, dua unit enjin dan sebuah lori yang dirampas RM245,000.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM2.04 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 40 Akta Perikanan 1953.

"Polis tidak akan berkompromi dan akan terus menjejaki aktiviti penyeludupan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan: