Demi telur, sanggup beratur acap kali, angkut ahli keluarga

Tinjauan Sinar Harian di sebuah kedai pemborong di bandar ini yang dikatakan mempunyai bekalan dan harga ditawarkan murah mendapati seawal jam 8 pagi peniaga-peniaga kedai makan sudah beratur mendapatkan bekalan.
Tinjauan Sinar Harian di sebuah kedai pemborong di bandar ini yang dikatakan mempunyai bekalan dan harga ditawarkan murah mendapati seawal jam 8 pagi peniaga-peniaga kedai makan sudah beratur mendapatkan bekalan.
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga kedai makan di negeri ini berdepan dengan krisis telur yang sangat kritikal apabila mereka sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan bekalan bahan mentah itu.

Tinjauan Sinar Harian di sebuah kedai pemborong di bandar ini yang dikatakan mempunyai bekalan dan harga ditawarkan murah mendapati seawal jam 8 pagi, peniaga-peniaga kedai makan sudah beratur mendapatkan bekalan.

Peniaga nasi lemak dari Bachok, Rohani Awang, 47, berkata, beliau dan suami sanggup datang sejauh 23 kilometer untuk mendapatkan bekalan telur bagi memastikan premisnya dapat beroperasi.

"Saya dan suami juga terpaksa beratur acap kali bermula jam 9 pagi untuk mendapatkan jumlah yang kami perlukan kerana setiap orang hanya dihadkan lima papan.

"Beginilah rutin kami semenjak bulan lepas apabila bekalan bahan mentah ini sangat sukar untuk diperoleh," katanya pada Selasa.

Menurutnya, jika tidak berbuat demikian, jualan nasi lemak yang bergantung sepenuhnya kepada telur tidak dapat diteruskan dan akan menjejaskan sumber pendapatan keluarga.

Bagi peniaga roti canai dan murtabak dari Pengkalan Chepa, Rohaya Isa, 42, memberitahu, beliau sanggup mengangkut suami dan anak-anak bersama untuk beratur bagi mendapatkan bekalan bahan mentah itu.

"Setiap hari kami buat macam ini demi telur, kalau tidak kedai tidak dapat beroperasi. Macam mana kami hendak cari rezeki?

Artikel Berkaitan:

"Walaupun terpaksa mengorbankan masa semua ahli keluarga tetapi hanya dengan cara ini sahaja kami mampu bertahan untuk memastikan perniagaan terus berjalan," ujarnya yang beratur seawal jam 8.30 pagi setiap hari.

Menurutnya, harga telur yang ditawarkah oleh pemborong itu sangat berpatutan iaitu sekitar RM13.20 bagi gred A, RM16.50 (AA) dan RM12 (C,D).

Bagaimanapun Rohaya berkata, bukan setiap hari mereka memperoleh telur gred A, kadangkala hanya mampu bertahan dengan gred C.

Tambahnya, selain telur, beliau dan peniaga lain juga berdepan masalah sukar mendapatkan minyak masak dan gula.

"Harga mahal kami tidak kisah, janji barang ada. Apa yang berlaku sekarang stok tidak ada sehingga memaksa kami beratur lama, keluar mencari ke merata tempat," katanya.

Peniaga kedai makan dari Tawang, Bachok, Azmi Ibrahim, 41, memberitahu sudah dua minggu masalah bekalan telur kritikal sehingga memaksanya pergi ke beberapa jajahan lain untuk mendapatkan bahan mentah itu.

Beliau diharap pihak kerajaan memahami situasi dialami mereka dan menyelesaikan masalah tersebut segera.

"Isu ini daripada tahun lepas lagi berlarutan, malah kami juga berdepan dengan kesukaran mendapatkan minyak masak serta gula," ujarnya.