Hijrah nafas baharu sempena Ramadan

Sikap memainkan peranan utama dalam mengabaikan kehendak merokok dan ia dapat dilaksanakan jika mempunyai keazaman yang kuat.
Sikap memainkan peranan utama dalam mengabaikan kehendak merokok dan ia dapat dilaksanakan jika mempunyai keazaman yang kuat.
A
A
A

APABILA Kementerian Kesihatan Malaysia yang diterajui oleh Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad tegas dalam melaksanakan peraturan larangan merokok di premis makanan mulai awal tahun ini, ia menimbul rasa kurang senang buat perokok walaupun disambut baik oleh masyarakat.

Ada persepsi ditimbulkan, kononnya kerajaan mendiskriminasi golongan perokok, dianggap sebagai musuh kesihatan, malah dikaitkan juga dengan pencabulan hak asasi manusia. Tetapi sangkaan itu tidak benar sama sekali, Dr Zulkefly semasa Sambutan Hari Tanpa Tembakau dan Nafas Baharu Bermula Ramadan Peringkat Kebangsaan 2019 di Bagan Lalang, Sepang baru-baru ini menyatakan kementeriannya bukanlah tidak sayang kepada golongan perokok dan tidak pernah menganggap mereka sebagai musuh.

Tetapi tegasnya, langkah Kementerian Kesihatan ini adalah untuk melindungi keselamatan rakyat yang terancam kepada asap rokok. Penguatkuasaan ini juga dimulakan dengan bentuk notis amaran sebagai bentuk didikan bukannya dihukum terus dengan denda yang berat.

Melalui pengamatan penulis, notis amaran ini bukanlah satu-satu didikan cara halus untuk memujuk golongan perokok meninggalkan tabiat yang tidak baik kepada kesihatan mereka dan orang sekeliling, malah beberapa bentuk didikan halus lain turut diambil Kementerian Kesihatan.

Satu yang sinonim apabila menjelang Ramadan ialah Program Nafas Baharu Ramadan yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan sejak 2013 lagi dengan mempromosikan Ramadan sebagai titik permulaan untuk berhenti merokok.

Objektif program ini jelas, untuk menggalakkan para perokok ini berikrar dan memulakan proses berhenti merokok secara berperingkat agar tidak meneruskan lagi tabiat itu selepas berakhirnya Ramadan.

Terdapat kajian yang dijalankan melaporkan 95 peratus perokok beragama Islam didapati mengakui mereka lebih mudah berhenti ketika bulan Ramadan kerana tempoh sekitar 14 jam sehari menjalani ibadah puasa membantu membentuk disiplin bagi perokok dengan menghindari mereka daripada pengambilan rokok.

Kajian kesihatan telah lama membuktikan merokok membahayakan kesihatan dan punca kepada penyakit berbahaya yang membawa maut. Bukan sahaja kesihatan perokok terjejas sebaliknya mereka yang berada berdekatan, khususnya ahli keluarga juga terdedah kepada ancaman kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Sesuatu yang perlu disedari bahawa kesan asap rokok basi yang dihasilkan perokok tetap berlegar di ruangan di mana ia dihasilkan walaupun untuk tempoh yang lama serta masih bertoksik kerana mengandungi logam berat, karsinogen atau bahan penyebab kanser dan bahan radioaktif.

Keadaan ini yang menyebabkan ahli keluarga juga akan turut terjejas secara langsung kepada bahana perbuatan merokok. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun dengan 30 peratus daripadanya disebabkan oleh kanser seperti paru-paru, mulut, esofagus dan tekak.

Saban tahun juga, kira-kira 10,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik dan ia memberi kesan besar kepada negara apabila kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

Dalam Islam, ALLAH SWT melalui firman-Nya dalam Al-Quran jelas melarang hamba-Nya mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan dan membazirkan harta dan boros untuk sesuatu yang sia-sia.

Pilihan untuk memulakan nafas baharu bermula Ramadan ini sentiasa ada, pintu Klinik Berhenti Merokok di hospital kerajaan sentiasa terbuka, Infoline Berhenti Merokok di talian 03-88834400 bersedia menanti pemanggil dan panduan berhenti merokok juga boleh dilayari 24 jam di laman sesawang www.jomquit.gov.my.

Akhirnya, sikap memainkan peranan utama dalam mengabaikan kehendak merokok dan ia dapat dilaksanakan jika mempunyai keazaman yang kuat. Tepuk dada tanyalah selera.

* Penulis ialah pegawai tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia dan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas, USIM