'Vaksin AstraZeneca selamatkan 6.3 juta nyawa'

Tangkap layar kenyataan bersama Musa dan Hui Siu pada Jumaat. (Gambar kecil: Tan Hui Siu, Musa Mohd Nordin)
Tangkap layar kenyataan bersama Musa dan Hui Siu pada Jumaat. (Gambar kecil: Tan Hui Siu, Musa Mohd Nordin)
A
A
A

VAKSIN Covid-19 AstraZeneca (AZ) telah menjadi berita kebelakangan ini.

Laporan akhbar tidak mempunyai maklumat yang tepat dan seimbang sehingga menimbulkan tanggapan terhadap penyokong antivaksin bahawa selama ini mereka di pihak yang benar.

Seorang doktor antivaksin pernah mengatakan bahawa pengeluar vaksin lain akan membersihkan data keselamatan dan menarik semula vaksin mereka satu hari nanti - dia adalah individu sama yang mendakwa wabak itu penipuan terbesar dalam sejarah manusia.

Sebarang laporan penyiasatan akan dipertimbangkan secara terperinci mengenai manfaat dan risiko vaksin AZ kepada individu dan peranannya menyelamatkan banyak nyawa ketika wabak melanda berbanding kesan sampingan yang diterima.

Vaksin Covid AZ bermula dengan cara pakar vaksin di Institut Jenner, Universiti Oxford mencipta bentuk model vaksin untuk melawan patogen pandemik yang tidak diketahui.

Mereka menjangkiti cimpanzi dengan virus selesema biasa (adenovirus) dan menciptanya semula untuk menjadi tunjang utama vaksin terhadap sebarang patogen yang dinamakan Chimpanzee Adenovirus Oxford One atau ChAdOx1.

Apabila saintis China berkongsi maklumat genetik organisma lengkap SARS-CoV-2 pada 11 Januari 2020, pasukan Oxford memasukkan kod genetik protein spike ke dalam ChAdOx1 dan membangunkan vaksin SARS CoV-2 dalam masa 10 bulan.

Ujian kawalan vaksin secara rawak iaitu ChAdOx1 Covid-19 pada fasa 3 menunjukkan keberkesanan sebanyak 76 peratus kemudian meningkat kepada 82 peratus dengan pengambilan dos kedua jika diambil 12 minggu kemudian.

Artikel Berkaitan:

Hanya dalam setahun, pada Januari 2021, United Kingdom, dengan jumlah kematian Covid-19 kedua tertinggi di Eropah, menjadi negara pertama yang melancarkan vaksin ini yang dibangunkan bersama oleh Universiti Oxford dan AstraZeneca.

Sebulan kemudian, WHO meluluskan vaksin Covid-19 AZ untuk kegunaan kecemasan dan ia telah dilancarkan secara global melalui COVAX.

Vaksin jenis AZ merupakan salah satu vaksin paling berpatutan di pasaran kerana hampir lima hingga sepuluh kali lebih murah daripada vaksin mRNA.

Selain daripada harga yang berpatutan, vaksin AZ lebih mudah untuk diangkut, diedarkan dan diurus kerana tidak memerlukan penyimpanan pada suhu rendah.

Kesan buruk vaksin AZ yang serius boleh berlaku tetapi jarang terjadi ini dikenali Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome (TTS) iaitu kehadiran pembekuan darah (trombosis) yang berkembang di tempat jarang berlaku seperti urat serebrum dan mempunyai tahap platelet yang rendah (trombositopenia).

Data pemantauan dan kesan advers susulan imuninasi (AEFI) menunjukkan bahawa kadar kemasukan ke hospital akibat TTS lebih tinggi bagi yang berumur kurang 70 tahun berbanding individu yang tidak divaksin dan yang berumur 70 tahun ke atas.

Tetapi, secara amnya, risiko menghidapi trombosis vena, trombositopenia dan trombosis vena serebrum disebabkan jangkitan Covid-19 dikatakan 190, 9 dan 3 kali lebih tinggi daripada risiko berkaitan vaksin.

Dengan kemunculan data ini, kebanyakan negara mengehadkan vaksin AZ kepada warga emas tetapi Malaysia tidak melakukannya, malah KKM dan JKJAV membenarkan pengambilan vaksin jenis AZ secara sukarela dalam golongan muda.

Menteri Kesihatan ketika itu menyatakan, "sains dan fakta tidak dapat mengatasi ketakutan orang ramai (terhadap vaksin AZ) kerana kami faham bahawa inilah yang dirasakan oleh mereka."

Sebahagian daripada kami mengibarkan ‘bendera merah’ pada tahun 2021, bertanya bagaimana KKM boleh secara saintifik dan beretika membenarkan pengambilan vaksin AZ kepada orang dewasa yang lebih muda sedangkan Britain dan Eropah yang memiliki pengalaman vaksin AZ paling luas telah menasihatkan sebaliknya?

Sebanyak 5,698,292 (7.8%) dos vaksin AZ Covid-19 (Vaxzevria) telah digunakan sehingga 30 November 2023 di Malaysia dengan 151 (0.0027%) laporan AEFI rakyat alami kesan teruk selepas divaksin.

Daripada jumlah ini, sehingga 31 Mac 2024, NPRA melaporkan lima kes TTS atau 0.88 kes bagi setiap satu juta dos vaksin AZ yang diberikan.

Secara perbandingan, Agensi Ubat Eropah (EMA) melaporkan kadar lima kes setiap satu juta bagi mereka yang berumur 70 tahun ke atas dan 20 kes setiap satu juta bagi bawah 50 tahun.

Kajian Imperial College London menunjukkan bahawa vaksin telah menyelamatkan 20 juta nyawa antara Disember 2020 dan Disember 2021.

Analisis lanjut dilakukan syarikat analitik yang berpangkalan di London, Airfinity terhadap data itu menunjukkan vaksin AZ telah menyelamatkan 6.3 juta nyawa, Pfizer/BioNTech 5.9 juta nyawa, Sinovac 2 juta nyawa dan Moderna 1.7 juta nyawa.

Vaksin jenis mRNA berkesan, mudah dan cepat dikemas kini berbanding vaksin AZ.

Memandangkan berlaku lebihan vaksin AZ sejak pandemik, AstraZeneca menarik balik vaksin ini di seluruh dunia.

Walaupun terdapat kes mahkamah yang belum selesai terhadap AZ, mana-mana individu tidak boleh mengetepikan peranannya yang menyelamatkan banyak nyawa semasa awal kemunculan wabak itu.

Faedah vaksinasi dalam mencegah penyakit Covid-19 yang teruk dan kematian akan melebihi risiko TTP jika dipertimbangkan secara teliti dan diberikan dalam kategori umur yang sepatutnya.

Data keberkesanan dan keselamatan vaksin AZ telah diterbitkan dari awal. Terpulang kepada setiap negara untuk menilai secara kritis bukti saintifik itu dan memberinya mengikut keperluan kecemasan, faedah dan risiko bagi populasi yang berbeza.

*Dr Musa Mohd Nordin dan Dr Tan Hui Siu ialah Pakar Pediatrik

***Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Sinar Harian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!