SPRM panggil Menteri Besar Kedah berhubung kes kecurian REE

MUHAMMAD SANUSI, AZAM BAKI
MUHAMMAD SANUSI, AZAM BAKI
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam minggu ini atau minggu depan berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan yang kini sudah berada di peringkat akhir.

"Ramai yang bertanya bila kami akan mendakwa (Muhammad Sanusi) tetapi pegawai penyiasat kami perlu menyiasat segala aspek termasuk menemubual saksi dan lain-lain.

"Antara perkara lain yang kami perlu lihat ialah siapa yang berkuasa untuk meluluskan perlombongan ini.

"Jika saya tidak silap, ia bukan kuasa negeri. Ia kuasa persekutuan. Mengenai negeri dan persekutuan kami perlu melihat bagai mana mereka menguruskannya.

"Bagaimana kerajaan negeri membuat cadangan kepada kerajaan persekutuan untuk mendapatkan pengesahan dan polisi kerajaan persekutuan.

"Kami perlu melihat semua perkara ini," katanya kepada media selepas program Executive Talk bersama pengarang media cetak Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di sini pada Isnin.

Pada 18 Julai, SPRM telah memulakan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa oleh Muhammad Sanusi berhubung perlombongan REE secara haram sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, SPRM turut menyiasat tentang penglibatan seorang warga China, iaitu So Loi Fatt yang datang ke Malaysia dan didakwa ada kaitan dengan kes tersebut

"Kami melihat perkara itu dalam siasatan untuk mengetahui kenapa mereka datang ke negara ini dan daripada mana mereka datang. Adakah mereka berada di sini untuk meneroka atau mereka datang untuk melakukan perlombongan haram ?

"Kami juga perlu menyiasat apa yang pihak berkuasa buat. Adakah mereka tidur?," ujarnya.

Azam menjelaskan, badan siasatan itu juga perlu berlaku adil kepada Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri dan menyiasat segala tuduhan termasuk dakwaan rakaman video beliau berada di lokasi kejadian dan mengetahui tentang kecurian tersebut.

"Kami perlu siasat itu, jika benar, tak apa. Bagaimana jika ia tidak benar ? Itu adalah tugas penyiasat untuk melihat semua perkara ini.