Saifuddin dakwa berlaku kecurian REE di Kampung Bendang Man, Sik

Saifuddin ketika sidang akhbar khas grand finale di Pejabat MPN Negeri Kedah, Alor Setar pada Khamis.
Saifuddin ketika sidang akhbar khas grand finale di Pejabat MPN Negeri Kedah, Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa terdapat satu lagi kecurian unsur nadir bumi (REE) dikesan berlaku di Kampung Bendang Man, Sik.

Menurutnya, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah perlu memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

Saifuddin berkata, penjelasan perlu dibuat mengapa Ketua Pegawai Eksekutif MBI Kedah, Muhamad Sobri Osman boleh mengeluarkan surat kepada sebuah syarikat untuk masuk ke tanah milik mereka di Kampung Bendang Man itu bagi tujuan melakukan penerokaan.

"Kejadian terbaru ini berlaku di luar kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang iaitu di Kampung Bendang Man, Ladang MBI Kedah, Felcra Bhd. Saya difahamkan atas nama eksplorasi, telah dikeluarkan hampir lima guni lagi REE dari kawasan itu.

"Pihak polis sudah mengambil tindakan dan ada tangkapan dilakukan selain rampasan lima guni REE. Berapa ramai yang ditahan setakat ini, itu kena tanya polis," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MPN PKR negeri Kedah dekat sini pada Khamis.

Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, tujuan dan kebenaran masuk ke tanah MBI Kedah atas nama lesen eksplorasi perlu diperjelaskan.

"Lesen eksplorasi ini diber, tetapi siapa dalam syarikat itu yang terdiri daripada ahli geologi profesional? Siapa yang memperakuinya dan apa keperluan membawa keluar sampai lima guni REE dari kawasan itu?

"Berapa banyak sampel nak ambil dan berapa banyak lagi surat kebenaran akan dikeluarkan MBI Kedah untuk lesen pengambilan sampel? Sanusi kena tanya perkara ini kepada CEO MBI," ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan: