Patuhi undang-undang, jangan cemarkan nama baik RXZ Members

Sebahagian motosikal yang berada di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus sempena Himpunan RXZ Members 5.0 pada Jumaat dan Sabtu lalu. - FOTO: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
Sebahagian motosikal yang berada di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus sempena Himpunan RXZ Members 5.0 pada Jumaat dan Sabtu lalu. - FOTO: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
A
A
A

MERAK JALANAN ucapkan tahniah kepada kerajaan Terengganu yang berjaya meneruskan program permotoran RXZ Members buat kali kelima penganjurannya tahun ini.

Pujian juga patut diberikan kerana pihak penganjur turut menyediakan pengisian slot keagamaan.

Namun, yang tak sedap didengar bila segelintir peserta menggelar diri sebagai mat rempit telah menyelar pihak penganjur gara-gara sangkut dalam ‘pukat’.

Istilah ‘pukat’ merujuk kepada sekatan jalan raya dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdekatan lokasi program dan lebih 100 penunggang bersama motosikal RXZ dibawa ke balai.

Oleh sebab takut masuk ‘pukat’, mereka yang telah sampai ke Terengganu lebih rela ‘berkurung’ di rumah inap sambil memuat naik hantaran di media sosial dengan tanda pagar Ganu Problem bagi menunjukkan rasa tak puas hati.

Nampaknya masih ada tak faham tujuan penganjuran RXZ Members adalah untuk mengumpulkan peminat jentera dua roda yang bertanggungjawab terhadap undang-undang

Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga kerana segelintir mat rempit keras kepala, habis semua penunggang RXZ dipandang serong.

Jangan salahkan ‘pukat’ kerana tiada kelonggaran atau pengecualian undang-undang untuk sesiapa ketika berada di jalan raya kerana keselamatan pengguna menjadi keutamaan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Kelonggaran mempamerkan motosikal diubahsuai atau sebarang aksi lasak hanya dalam kawasan program dan bukan di jalan raya yang dikongsi bersama pengguna kenderaan lain.

Merak Jalanan yakin mereka yang buat onar itu bukan tak faham ketetapan tersebut tetapi sengaja buat tak faham dengan alasan RXZ ‘barang panas’ tak perlu ikut standard piawaian.

Mereka sepatutnya tunjuk sikap berbudi kepada kerajaan Terengganu. Mencemarkan nama baik RXZ Members boleh beri kesan kepada penganjuran akan datang.