Gempa bumi kuat ranapkan kampung di Maghribi

Penduduk di sebuah perkampungan di pergunungan Tafeghaghte berjalan di sebalik runtuhan rumah yang musnah selepas gempa bumi kuat melanda Maghribi Jumaat lalu. - Foto AFP
Penduduk di sebuah perkampungan di pergunungan Tafeghaghte berjalan di sebalik runtuhan rumah yang musnah selepas gempa bumi kuat melanda Maghribi Jumaat lalu. - Foto AFP
A
A
A

RABAT - Gempa bumi kuat, yang melanda Maghribi dan mengorbankan lebih 2,000 orang pada Jumaat, telah meratakan sebuah perkampungan gunung kecil di negara itu, Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan media Maghribi pada Ahad.

Gempa bumi yang menggegarkan beberapa kawasan di negara Afrika Utara itu memusnahkan sepenuhnya perkampungan yang terletak di wilayah Chichaoua berhampiran bandar Marrakesh, kata televisyen kerajaan Maghribi, lapor dpa.

Pasukan penyelamat yang beroperasi di kampung itu telah mengeluarkan 65 mayat dari runtuhan dan sedang mencari empat yang lain, menurut penyiar tersebut.

Sebuah kubur besar telah disediakan untuk pengebumian mangsa.

Gempa bumi 7 magnitud, yang melanda Maghribi awal Jumaat, mengorbankan sekurang-kurangnya 2,012 orang dan mencederakan 2,059 yang lain. - Foto AFP
Gempa bumi 7 magnitud, yang melanda Maghribi awal Jumaat, mengorbankan sekurang-kurangnya 2,012 orang dan mencederakan 2,059 yang lain. - Foto AFP

Disebabkan kesukaran kawasan pencarian, pihak berkuasa menggunakan dron untuk mencari mayat di bawah runtuhan dan pesawat untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terselamat, lapor portal berita Maghribi Hespress.

Masih belum dapat dipastikan berapa ramai penduduk yang tinggal di kampung itu. Tetapi menurut Hespress, terdapat kira-kira 100 rumah diperbuat daripada bata lumpur dan simen di lokasi kejadian.

Gempa bumi 7 magnitud, yang melanda Maghribi awal Jumaat, mengorbankan sekurang-kurangnya 2,012 orang dan mencederakan 2,059 yang lain, menurut angka rasmi terkini.

Artikel Berkaitan:

Maghribi mengisytiharkan tiga hari berkabung untuk mangsa, dengan bendera negara dikibarkan separuh tiang di semua bangunan awam, menurut kenyataan mahkamah diraja. - Bernama-dpa