Polis buru lelaki samun pelanggan bank

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki bersenjatakan pisau melakukan samun dan melarikan wang milik mangsa di sebuah bank di Ipoh. - Foto: Ihsan Pembaca
Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki bersenjatakan pisau melakukan samun dan melarikan wang milik mangsa di sebuah bank di Ipoh. - Foto: Ihsan Pembaca
A
A
A

IPOH - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan pisau di sebuah bank di sini, susulan video kejadian itu tular pada Jumaat.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 1 minit 3 saat itu memaparkan tindakan suspek menghampiri dua individu yang sedang melakukan transaksi di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sambil menghunuskan pisau.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku sekitar jam 5.20 petang pada 14 Mei lalu.

"Seorang wanita berusia lingkungan 50-an mengalami kerugian sebanyak RM300 selepas disamun suspek yang memakai topi keledar.

"Setakat ini, tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Polis kini melaksanakan operasi khas bagi mengesan suspek tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintenden Mohd Zulkefli Mohd Mokhtar di talian 012-4336999 atau Pusat Kawalan Daerah IPD Ipoh di talian 05-2542222.

Artikel Berkaitan: