Kes seludup migran, kubur besar Wang Kelian: Empat lelaki dipindahkan ke Thailand

Empat lelaki warga Thailand yang disabitkan kesalahan dalam kes kem penyeludupan migran dan penemuan kubur besar di Wang Kelian dipindahkan ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman di Malaysia pada Rabu. Foto: JIM Perlis

A
A
A

KANGAR – Empat lelaki warga Thailand yang disabitkan kesalahan dalam kes kem penyeludupan migran dan penemuan kubur besar di Wang Kelian pada 2015 antara enam individu yang dipindahkan ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman di Malaysia pada Rabu.

Pemindahan itu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis melalui Pos Imigresen Wang Kelian di sini.

Menurut Pengarah Imigresen Perlis, Mohammad A’sim Md Ali, empat lelaki berusia antara 31 hingga 61 tahun itu sebelum ini diekstradisi dari Thailand ke Malaysia pada Jun 2023 bagi menghadapi proses perundangan berkaitan kes berkenaan.

“JIM Perlis merakamkan penghargaan atas kerjasama erat dan hubungan strategik yang terjalin dengan pihak berkuasa Thailand.

“Kejayaan pemindahan ini mencerminkan hubungan dua hala yang baik serta komitmen bersama dalam menangani jenayah rentas sempadan dan memperkukuh kerjasama penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pemindahan itu dilaksanakan JIM Perlis melalui Pos Imigresen Wang Kelian. Foto: JIM Perlis
Pemindahan itu dilaksanakan JIM Perlis melalui Pos Imigresen Wang Kelian. Foto: JIM Perlis

Pada 7 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kangar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap mereka selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) [Akta 670] kerana melindungi migran yang diseludup pada 2014 dan 2015.

Empat tertuduh iaitu Suchat Tohdin, 38, Jehpa Lapi-E, 58, Arun Kaeofainok, 31, dan Somphon A-Dam, 53, dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Hukuman penjara berkenaan diperintahkan berkuat kuasa mulai tarikh mereka ditahan pada 22 Jun 2023.

Selain empat individu terbabit, dua lagi lelaki warga Thailand turut dipindahkan selepas selesai menjalani hukuman atas kesalahan imigresen berasingan mengikut Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].

Selain empat individu terbabit, dua lagi lelaki warga Thailand turut dipindahkan selepas selesai menjalani hukuman atas kesalahan imigresen berasingan mengikut Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155]. Foto: JIM Perlis

Kedua-dua individu berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(3)(a) dan Seksyen 15(4) akta tersebut serta tidak mempunyai kaitan dengan kes ATIPSOM berkenaan.

Mohammad A’sim berkata, kesemua enam individu itu diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand di Pos Imigresen Wang Kelian untuk tindakan lanjut mengikut proses perundangan negara berkenaan.

Menurutnya, pemindahan tersebut dilaksanakan menerusi penyelarasan antara pihak berkuasa Malaysia dan Thailand bagi memastikan urusan penyerahan berjalan lancar serta teratur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!