PDRM cadang tubuh jawatankuasa bersama Polis Thailand

Mohd Shuhaily pada sidang media selepas majlis penutup Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Antara Malaysia dan Thailand Mengenai Aktiviti Jenayah Ke-26 pada Khamis. - Foto Bernama
Mohd Shuhaily pada sidang media selepas majlis penutup Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Antara Malaysia dan Thailand Mengenai Aktiviti Jenayah Ke-26 pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menimbangkan penubuhan sebuah jawatankuasa bersama dengan Polis Diraja Thailand bagi menangani jenayah siber rentas sempadan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ia adalah antara cadangan yang dikemukakan dalam Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja Antara Malaysia dan Thailand Mengenai Aktiviti Jenayah Ke-26 pada Khamis.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa bertujuan memudahkan polis kedua-dua negara untuk bertukar maklumat mengenai jenayah siber rentas sempadan di kedua-dua negara.

"Seperti contoh sindiket penipuan dalam talian yang berpengkalan di Malaysia dan melakukan penipuan terhadap orang di Thailand dan sebaliknya, berikutan isu had kuasa (jurisdiction), kedua-dua pasukan polis (Malaysia dan Thailand) menghadapi masalah untuk membanteras sindiket terlibat.

"Cadangan penubuhan jawatankuasa ini saya akan bawa kepada Ketua Polis Negara untuk dipertimbangkan," katanya dalam sidang media selepas majlis penutup masyuarat berkenaan di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Penolong Komisioner Jeneral Polis Diraja Thailand, Sarawut Karnpanich selaku ketua delegasi dari Thailand.

Sementara itu, dalam persidangan media yang sama, Sarawut memberitahu bahawa Thailand menyaksikan peningkatan dalam kes-kes jenayah siber sejak beberapa tahun lepas, namun hakikatnya ia bukan hanya berlaku di Thailand, malah peningkatan itu turut dirasai di lain-lain negara.

"Sebagaimana Malaysia, jenayah siber turut meningkat di Thailand, dan kami juga berusaha melakukan sebaik mungkin untuk menguasai teknologi terkini, dan berusaha mencari jalan bagaimana kita boleh terus tingkatkan kerjasama dalam menangani jenayah ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat selama dua hari yang berakhir hari ini antara polis kedua-dua negara itu membincangkan pelbagai isu, antaranya mengenai jenayah rentas sempadan seperti aktiviti keganasan, penyeludupan dadah dan manusia selain jenayah laut serta lanun. - Bernama