Tubuh jawatankuasa khas teliti keselamatan projek berisiko

Saarani (tengah) melawat reruai jualan produk berasaskan kulit sebelum menghadiri majlis perasmian M-SL: Projek Kelulusan Pembinaan Secara Pintas Majlis Daerah Tanjong Malim pada Khamis.
Saarani (tengah) melawat reruai jualan produk berasaskan kulit sebelum menghadiri majlis perasmian M-SL: Projek Kelulusan Pembinaan Secara Pintas Majlis Daerah Tanjong Malim pada Khamis.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kerajaan Perak akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti tahap keselamatan bagi mana-mana projek berisiko di lereng bukit termasuk aktiviti pengkuarian di negeri itu susulan kejadian runtuhan batu kapur yang mengorbankan seorang pekerja, Selasa lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penubuhan jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri pada Rabu.

"Kejadian ini dibawa dalam mesyuarat Exco dan semalam kita putuskan perlu ada satu tindakan yang akan diatur oleh sebuah jawatankuasa khas kerana bimbang apabila musim hujan ini, kita tidak tahu apa berlaku di atas batu (bukit) tersebut termasuk di lereng-lereng batu di lebuh raya dekat terowong.

"Dalam hujung minggu lepas kita ada PerakGIS, geospatial yang kita buat itu ada alat yang boleh mengesan pergerakan tanah, jadi kita hendak lihat itu sebab tidak mahu kejadian sama menimpa rakyat negeri Perak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muallim Speed Lane (M-SL): Projek Kelulusan Pembinaan Secara Pintas Majlis Daerah Tanjong Malim di sini pada Khamis.

Beliau mengulas mengenai saranan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang mahu aktiviti pengkuarian di kawasan berisiko tinggi dihentikan bagi menangani kes-kes kematian di tapak kuari.

Kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, seorang pekerja asing maut selepas terperangkap dalam runtuhan batu kapur di sebuah tapak kuari di Keramat Pulai dekat Simpang Pulai.

Pada 8 Mac 2022, dua pekerja kuari maut dalam insiden sama sebelum dijumpai enam bulan kemudian berikutan penemuan cebisan rangka tulang dipercayai milik mangsa dan bangkai jengkaut.

Saarani berkata, pengusaha kuari dinasihatkan untuk mengenal pasti risiko sebelum memulakan tugasan dan menitik beratkan aspek keselamatan bagi mengelakkan sebarang kemalangan di tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian ini tidak mustahil berlaku kerana kecuaian manusia. Mana-mana pekerja kuari dan pekerja sendiri perlu peka dengan slogan 'utamakan keselamatan' kerana mereka lebih tahu akan situasi tempat bekerja.

"Tiada guna buat peraturan tetapi pekerja atau operator tidak ambil peduli. sekiranya tidak patuh pada peraturan maka kejadian seperti ini akan berlaku lagi," katanya.

Pada masa sama, Saarani berkata, satu Garis Panduan Pembangunan Tanah Pertanian Kawasan Bukit telah diluluskan pada Rabu bagi memantau aktiviti pertanian.

"Sebelum ini tiada. kita ambil contoh Felda hendak tanam semula sawit di kawasan beratus ekar, siapa yang akan pantau dan boleh beri nasihat? kadang-kadang pekebun kecil hendak tanam semula getah tapi perlu dibuat lima lot serentak, siapa yang hendak memantau?.

"Jadi kita sudah meluluskan semalam garis panduan ini bagi mengelakkan sebarang pembangunan itu boleh mengakibatkan banjir dan sebagainya," katanya.