Jangan politikkan projek PSI, kelirukan rakyat

Laporan Sinar Harian pada Julai lalu. Fajinah (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Julai lalu. Fajinah (kanan).
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Kebajikan Nelayan Bayan Lepas Pulau Pinang meminta semua pihak terutamanya ahli-ahli politik dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) tidak mengambil kesempatan mempolitikkan projek Penang South Island (PSI) ketika Pilihan Raya Negeri berlangsung kerana ia hanya merugikan nelayan.

Setiausahanya, Fajinah Jaafar berkata, merujuk kepada pengumuman Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar baru-baru ini, kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk mengekalkan pakej Skim Pengurusan Impak Sosial (SIMP) seperti yang dijanjikan kepada kesemua sembilan unit nelayan.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik keputusan itu dan bersyukur atas kemurahan hati kerajaan negeri untuk menepati janji asalnya walaupun PSI telah dikurangkan skopnya kepada satu pulau yang sebenarnya hanya melibatkan satu unit nelayan terkesan sahaja.

"Aktiviti penambakan laut jelas tidak menjejaskan mata pencarian nelayan pantai. Kawasan penangkapan ikan bagi nelayan pantai adalah cukup luas dan tidak tertumpu di kawasan tapak penambakan.

"Dalam kes PSI, kawasan penangkapan ikan sebenarnya terletak jauh dari tapak PSI...Oleh itu, mata pencarian nelayan langsung tidak akan terkesan semasa kerja penambakan dijalankan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Fajinah berkata, dalam pelan SIMP itu kerajaan negeri juga menawarkan nelayan pelbagai bantuan, termasuk bot yang lebih besar dan enjin lebih berkuasa, jeti baharu yang berkemudahan, peluang pekerjaan dan perniagaan serta peluang mengikuti latihan kemahiran seperti jurumudi.

Jelasnya, rakan-rakan nelayan yang telah menerima bot dan enjin baharu serta tamat kursus jurumudi telah memberikan maklumbalas positif tentang bagaimana bantuan berkenaan meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga mereka.

"Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang telah dikemaskini dan disemak beberapa kali sehingga mendapat kelulusan terbaharu pada April tahun ini telah memperincikan kesan projek, langkah-langkah kawalan alam sekitar dan inisiatif yang wajib diambil untuk menangani kesan alam sekitar serta kesan sosial.

"Oleh itu, adalah tidak masuk akal untuk menuntut bahawa aktiviti penambakan akan dilaksanakan secara tidak terkawal dan tidak mampan," ujarnya.

Sementara itu, Fajinah turut meminta kumpulan Penang Tolak Tambak dan ahli politik lain supaya tidak mengambil kesempatan musim pilihanraya untuk mengelirukan rakyat tentang projek ini.

"Pada masa ini, Pen Mutiara yang dikatakan mewakili dan melindungi hak serta kesejahteraan nelayan sepatutnya memainkan peranannya untuk memastikan anggota-anggotanya di Selatan Pulau Pinang mendaftarkan nama untuk menerima manfaat PSI, khususnya pakej SIMP.

"Janganlah sesekali mempertaruhkan kebajikan nelayan-nelayan demi kepentingan sendiri," jelasnya.