Projek PSI dikecilkan: Perlu status EIA baharu - SAM

Projek PSI kini dikecilkan daripada tiga pulau kepada sebuah pulau sahaja. Gambar kecil: Meenakshi
Projek PSI kini dikecilkan daripada tiga pulau kepada sebuah pulau sahaja. Gambar kecil: Meenakshi
A
A
A

GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) akan berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengetahui status Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) yang telah diluluskan April lalu.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, ia berikutan pengumuman kerajaan negeri mengenai pengecilan skop projek tersebut iaitu daripada tiga buah pulau kepada hanya satu buah.

Menurut Meenakshi, beliau akan menghubungi Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar bagi mendapatkan penjelasan sama ada Laporan EIA yang terdahulu masih terpakai untuk satu pulau yang bakal dibangunkan.

Kata beliau, pihaknya percaya satu Laporan EIA yang baharu perlu diperolehi kerana berlaku perubahan pada skop projek berkenaan.

"Memandangkan terdapat perubahan dalam konsep pembangunan, baik dalam reka bentuk atau kenyataan keperluan (statement of need), SAM berpendapat, kerajaan negeri perlu mendapatkan Laporan EIA yang baru diperolehi.

"Ini kerana, dalam salah satu syarat yang dikenakan JAS kepada Kerajaan Pulau Pinang dalam kelulusan Laporan EIA yang terdahulu menyatakan, sekiranya ada sebarang perubahan dalam konsep pembangunan, kelulusan baharu daripada Ketua Pengarah JAS adalah diperlukan.

"Oleh demikian, kerajaan negeri perlu mendapatkan kelulusan JAS dalam Laporan EIA yang baru memandangkan hanya satu pulau sahaja yang akan dibina dalam projek tersebut. Kerajaan negeri tidak boleh bergantung kepada kelulusan Laporan EIA yang terdahulu kerana berlaku perubahan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Pada Khamis, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dalam Projek PSI seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Mei lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain Pulau B, keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon turut dikecilkan iaitu daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar.

Menurutnya, pengurangan keluasan itu melibatkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada satu buah pulau sahaja.

Kon Yeow berkata, Pulau C yang berkeluasan 323.7 hektar turut dibatalkan.

Dalam pada itu, projek tersebut juga perlu ada penilaian impak hidraulik dan hidrologi baharu yang meliputi aliran semasa, paras air, keadaan ombak, pemendapan, hakisan dan sebagainya.

"Semua faktor ini akan berubah kerana Projek PSI sekarang hanya mempunyai sebuah pulau sahaja, berbanding tiga sebelum ini. Tambahan pula, kajian penempatan udang juga perlu dilakukan lebih awal di bawah Laporan EIA yang baru diluluskan masih belum selesai.

"Semua ini komponen penting untuk dinilai memandangkan penambakan Pulau A melibatkan 930.8 hektar, yang mana ia masih memberi impak kepada hidupan marin, penempatan udang, keselamatan makanan dan sebagainya," katanya.

Meenakshi berkata lagi, keperluan projek itu juga telah berubah selepas Kerajaan Persekutuan mengumumkan suntikan dana kepada Transit Aliran Ringan (LRT) dalam usaha menangani masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.