PRN: Gunakan kuasa satu jari pilih calon bersih, bebas rasuah

Hussain Yusri dan Hamdan Daniel
Hussain Yusri dan Hamdan Daniel
A
A
A

SHAH ALAM - Pengundi di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu nanti disaran untuk memilih calon yang bersih dan bebas daripada rasuah.

Pensyarah kanan Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi menegaskan, kewajipan memilih pemimpin yang berintegriti dan bebas daripada rasuah adalah asas yang sangat penting dalam sistem demokrasi yang sihat.

Menurutnya, memilih pemimpin yang mempunyai integriti dan menjauhkan diri daripada amalan rasuah adalah tanggungjawab utama setiap warganegara yang prihatin terhadap pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.

"Pada PRN kali ini gunakan kuasa satu jari anda, ingat Malaysia memerlukan pemimpin yang berintegriti bagi mewujudkan keadilan.

"Ini kerana pemimpin yang bersih ini mempunyai keupayaan untuk membuat sesuatu keputusan yang adil dan berdasarkan kepentingan masyarakat secara keseluruhan tanpa melibatkan kepentingan peribadi dan keuntungan kroni.

"Pemimpin yang berintegriti akan menjalankan tugas-tugas mereka dengan telus dan bertanggungjawab, memastikan keadilan dalam penggunaan sumber daya negara dan perkhidmatan awam," katanya kepada Rasuah Busters pada Ahad.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan PRN di enam negeri dijangka berlangsung pada sekitar Ogos depan.

Sehingga kini, DUN Selangor dan DUN Kelantan sudah dibubarkan masing-masing pada Jumaat dan Khamis, sementara DUN Pulau Pinang dan DUN Kedah pula akan dibubarkan pada Rabu depan.

Bagi Terengganu, Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memohon pembubaran DUN minggu depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menetapkan tarikh hari mengundi bagi PRN di enam negeri terbabit dalam tempoh 60 hari selepas pembubarannya.

Mengulas lanjut Hussain berkata, kepentingan rakyat memilih pemimpin yang berintegriti juga dapat memastikan negara dalam keadaan stabil dan mendapat kepercayaan negara luar.

"Perlu diingatkan bahawa apabila pemimpin mempunyai reputasi yang baik terutama hal yang berkaitan dengan integriti, ini sekali gus akan menarik pelaburan dan memperkukuh imej positif negara di peringkat antarabangsa.

"Pemimpin yang jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan perbelanjaan negara akan mengurangkan pembaziran dan penyalahgunaan sumber khazanah negara, yang membolehkan negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan meningkatkan kualiti hidup rakyatnya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, pengundi di enam negeri yang akan melunaskan tanggungjawab itu nanti perlu bijak memilih kerajaan mana yang layak untuk diberikan mandat dalam mentadbir negeri.

"Besar harapan kita supaya pengundi memilih calon-calon yang mempunyai rekod yang baik, bebas daripada jenayah rasuah dan mempunyai integriti yang tinggi.

"Pemilihan yang salah akan menyebabkan mereka sendiri yang merasa kesan negatifnya, jadi gunakan kuasa mengundi anda untuk memilih calon-calon yang benar-benar layak untuk mengemudi kerajaan negeri itu nanti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

DUN Selangor bubar secara rasmi hari ini

DUN Kelantan bubar hari ini

Pulau Pinang sah bubar DUN 10 hari terakhir Jun

Sanusi menghadap Sultan Kedah mohon perkenan tarikh bubar DUN