Karikatur 3D tarik pengunjung ke Festival Karikatur Malaysia 2023

Replika Datuk Lat yang dihasilkan Zaky Qursani
Replika Datuk Lat yang dihasilkan Zaky Qursani
A
A
A

SHAH ALAM - Hasil karya karikatur dalam bentuk 3 dimensi (3D) yang julung kalinya dihasilkan di negara ini berjaya menarik perhatian pengunjung Festival Karikatur Malaysia 2023.

Menurut Universiti Kuala Lumpur (UniKL), karya tersebut merupakan daya kreativiti dan inovasi seorang pensyarah Animasi Universiti Kuala Lumpur, Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT), Mohamad Zaky Khairuddin atau dikenali sebagai Zaky Qursani.

Katanya, usaha dan kreativiti Zaky Qursani dalam penghasilan karikatur 3D itu ternyata mendapat maklum balas positif daripada Presiden Karikatur Malaysia dan Seniman Diraja, Datuk Mohd Nor Khalid atau Datuk Lat.

"Selain itu, ia juga berjaya menarik perhatian semua pihak termasuk artis seni karikatur mengenai cabang seni karikatur sekali gus membuka ruang kepada penghasilan karikatur 3D ke peringkat global.

"Terkini, karya 3D Zaky Qursany telah terpilih menjadi bahan pameran di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam, Melaka. Tahniah Zaky!" ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Festival Karikatur Malaysia 2023 yang diadakan di Mahkota Parade, Melaka bermula 10 hingga 13 Ogos 2023 itu menampilkan 77 karya dari dalam dan luar negara selain turut melibatkan lapan pelukis yang melukis secara langsung.

Tambah kenyataan itu, karikatur adalah salah satu seni lukis yang telah bertapak di Malaysia sejak sekian lama.

"Lukisan potret yang memiliki nilai jenaka dengan rekaan berlebihan menjadi tarikan buat sesetengah artis menjadikan penghasilan karya karikatur sebagai pendapatan tetap dan menguntungkan.

Artikel Berkaitan:

"Seiring dengan perkembangan teknologi, penghasilan karikatur boleh dihasilkan dalam bentuk 3D untuk animasi, filem malah percetakan," jelasnya.

Sementara itu, Zaky Khairuddin memberitahu, proses penghasilan karikatur 3D mengambil masa selama tiga minggu kerana memerlukan peralatan dan perisian komputer berspesifikasi tinggi.

"Ia juga memerlukan mesin cetak 3D yang menggunakan teknologi terbaharu dan bahan resin cecair dalam cetakan,” katanya.