Jenazah Dr Abdullah Fadzil selamat dikebumikan

Datin Seri Che Ezatul Hamsiah Hussein, 77, (kiri) menyiram air di pusara suaminya, yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan Allahyarham Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan di Tanah Perkuburan Masjid Panglima Kinta pada Rabu. - Foto Bernama
Datin Seri Che Ezatul Hamsiah Hussein, 77, (kiri) menyiram air di pusara suaminya, yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan Allahyarham Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan di Tanah Perkuburan Masjid Panglima Kinta pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Jenazah bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan, 78, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Panglima Kinta dekat sini pada Rabu.

Allahyarham dikebumikan pada jam 3.15 petang dihadiri kira-kira 200 orang termasuk kenamaan, pimpinan kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Allahyarham yang merupakan bekas Orang Besar Jajahan Kinta dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghembuskan nafas terakhir di hadapan ahli keluarga di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur kira-kira jam 5 pagi akibat radang paru-paru.

Jenazah dimandi dan dikafankan seterusnya disolatkan di Masjid Sungai Ramal, Kajang dan dibawa ke Masjid Panglima Kinta untuk sekali lagi disolatkan sebelum dikebumikan.

Allahyarham meninggalkan balu, Datin Seri Che Ezatul Hamsiah Hussein, 77, dan Sharifah Shahrul Bariah Syed Mokhtar, 66, bersama tujuh anak.

Anak sulung Allahyarham, Fizelle Che Wan, 52, ketika ditemui berkata, bapanya yang mengalami demensia sejak lapan tahun lalu telah seminggu dimasukkan ke hospital kerana demam panas.

Artikel Berkaitan:

"Doktor maklumkan ada jangkitan pada paru-paru ayah, namun telah melarat sebelum dapat dikesan lebih awal.

"Setelah jalani rawatan, dua hari lepas, nampak keadaan ayah bertambah baik, tetapi takdir ALLAH lebih menyayanginya," katanya.

Fizelle berkata, Allahyarham sebelum ini telah mewasiatkan kepada anak-anak untuk dikebumikan di negeri kelahirannya di Perak.

Beliau turut menyifatkan bapanya seorang yang penyabar dan sentiasa menyokong apa juga bidang yang diceburi anak-anak.

"Ayah tak pernah marah atau paksa kami ikut jejak langkahnya.

"Kalau melibatkan sukan badminton, arwah menang selalu bersemangat tinggi sehingga punya hubungan rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali untuk sama-sama membangunkan sukan badminton," katanya.

Allahyarham dilantik sebagai Orang Besar Jajahan Kinta pada 2004 selepas bersara daripada politik.

Dalam pentadbiran kerajaan, Allahyarham pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan (1995-1999), Timbalan Menteri Luar (1987-1995) dan Ahli Parlimen Bukit Gantang (1986-2004).

Allahyarham juga telah diberikan kepercayaan menerajui BAM selaku presiden selama tujuh tahun bermula tahun 1993 hingga 2000.