Arena badminton negara berduka pemergian Abdullah Fadzil

Allahyarham Abdullah Fadzil meninggal dunia awal pagi Rabu.
Allahyarham Abdullah Fadzil meninggal dunia awal pagi Rabu.
A
A
A

ARENA badminton negara berduka dengan pemergian seorang tokohnya, Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan, yang pernah menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama tujuh tahun.

Allahyarham yang berusia 78 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Hospital KPJ Tawakkal, jam 3 pagi Rabu.

Dr Abdullah Fadzil pada awalnya berkhidmat sebagai Timbalan Presiden BAM kepada Allahyarham Tan Sri Elyas Omar, yang menyaksikan Malaysia merangkul Piala Thomas buat kali terakhir pada 1992 dan meraih pingat pertama di Olimpik menerusi adik-beradik Sidek, Datuk Razif-Datuk Seri Jalani dalam acara beregu lelaki di Olimpik Barcelona 1992.

Allahyarham yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Luar (1987-1995) dan Timbalan Menteri Pertahanan (1995-1999), kemudian mengambil alih pucuk kepimpinan BAM dan berkhidmat sebagai Presiden BAM bermula 1993 hingga 2000.

Pada tempoh itu juga, Malaysia meraih pingat perak pertama di Sukan Olimpik menerusi gandingan beregu lelaki Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock di edisi Atlanta 1996, selain pingat pertama dalam acara perseorangan apabila Datuk Rashid Sidek raih gangsa perseorangan lelaki.

BAM dan Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, turut bersedih dengan pemergian Dr Abdullah Fadzil, yang dikenang sebagai tokoh telah menabur bakti kepada tanah air, terutamanya kepada sukan badminton.

“Salam takziah kepada keluarganya. Sumbangan Allahyarham kepada sukan badminton akan sentiasa dihargai.

“Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada negara. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” kata Mohamad Norza ketika dihubungi.

Artikel Berkaitan:

Beliau merupakan Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja dan Ahli Parlimen Bukit Gantang bermula 1986 hingga 2004, meninggalkan seorang balu Datin Seri Ezatul Hamsiah Hussein dan tujuh orang anak. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Kepimpinan Dr Abdullah Fadzil disegani ahli politik, sukan