Polis sahkan warga emas digigit buaya ketika tangkap udang galah

Nurkaisa diangkat oleh rakan nelayan sebaik tiba di Jeti Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Timun, Rembau.
Nurkaisa diangkat oleh rakan nelayan sebaik tiba di Jeti Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Timun, Rembau.
A
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Polis Melaka mengesahkan menerima laporan berhubung seorang wanita warga emas yang digigit buaya di Sungai Timun, Lubok Cina di sini, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, laporan berkenaan dibuat oleh anak mangsa selepas dimaklumkan oleh rakannya bahawa ibunya, Nurkaisa Ausad, 65, digigit buaya semasa menangkap udang galah.

Menurutnya, mangsa dipercayai menangkap udang bersama-sama nelayan lain.

"Bagaimanapun, semasa dia turun ke dalam sungai untuk menangkap udang tidak jauh dari perahu yang dinaiki, tiba-tiba kakinya telah digigit oleh seekor buaya.

"Mangsa meronta-meronta hingga menyebabkan terlepas dari gigitan buaya tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Ujarnya, ketika menyelamatkan diri kepala mangsa telah terhantuk pada bucu perahu sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan.

Beliau berkata, rakan mangsa yang juga nelayan telah menyelamatkannya sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Mangsa mengalami kecederaan di pergelangan kaki sebelah kanan akibat gigitan buaya.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan mangsa ketika ini stabil dan kes dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai ketika dihubungi berkata, siasatan masih sedang dijalankan.

"Lokasi mangsa dicederakan merupakan kawasan habitat buaya," katanya.

Kejadian pertama digigit buaya

Pengerusi MyKomuniti Perikanan (MyKP) Jeti Pangkalan Nelayan Kampung Sungai Timun, Aripin Salleh berkata, semua nelayan darat di situ mengetahui akan kewujudan habitat buaya di kawasan itu dan reptilia itu sering muncul di sepanjang sungai berkenaan.

Sungai Timun antara habitat buaya yang diketahui penduduk dan nelayan.
Sungai Timun antara habitat buaya yang diketahui penduduk dan nelayan.

"Enam tahun lalu ada kejadian buaya melanggar sampan ataupun bot nelayan tetapi tidak mengganas, berbanding kali ini sehingga menyebabkan kecederaan.

"Mereka juga telah dinasihatkan supaya tidak memancing ataupun mengecal (menangkap udang) di kawasan kejadian bagi mengelakkan insiden sama berulang sebab banyak lagi kawasan lain yang ada udang dan ikan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu Aripin berkata, Cik Nor merupakan salah seorang nelayan darat di sini sejak 20 tahun lalu.

"Ada masanya kami (nelayan) pergi sebelah Melaka (Sungai Ramuan Cina Besar,Melaka), ada masa sebelah Negeri Sembilan sebab sungai kita ini bersambung-sambung," katanya.

Dalam pada itu, nelayan, Nabil Afifi Omar, 23, berkata, kebiasaannya mereka tidak ke lokasi kejadian susulan mengetahui kawasan tersebut merupakan habitat buaya.

"Kami berpegang kepada pesanan dan pantang larang ketika turun ke sungai terutamanya jaga pertuturan supaya pencarian rezeki berjalan lancar," katanya.

Penduduk Kampung Sungai Timun, Rafi Norman, 49, pula berkata, ia merupakan kejadian pertama berlaku sejak 49 tahun menetap di situ.

"Dekat sini belum pernah lagi manusia digigit buaya seperti sungai-sungai di Sarawak, justeru saya harap semua pihak terutamanya nelayan lebih berhati-hati selepas ini sebab sungai ini antara punca pencarian rezeki mereka," katanya.