Video 'beras tempatan dibungkus semula jadi beras import' tidak benar

JFC mengesahkan video tular di media sosial mengenai dakwaan beras tempatan telah dibungkus semula menjadi beras import adalah tidak benar. - Foto Awani
JFC mengesahkan video tular di media sosial mengenai dakwaan beras tempatan telah dibungkus semula menjadi beras import adalah tidak benar. - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat pengeluar beras, Jasmine Food Corporation Sdn Bhd (JFC) mengesahkan video tular di media sosial mengenai dakwaan beras tempatan telah dibungkus semula menjadi beras import adalah tidak benar.

Sebaliknya menurut portal Sebenarnya.My yang memetik kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, video berkenaan memaparkan Beras Putih Import (BPI) dan ia telah dirakam di dalam kilang Jasmine di Tunjang, Alor Setar, pada Sabtu lalu.

"Pembungkusan semula BPI merupakan satu proses normal apabila berlaku kejadian kampit pecah atau beras berhabuk sewaktu kampit beras berada di kedai dan pasar raya.

"Proses ini dibuat untuk memastikan kualiti beras keluaran JFC sentiasa berada di dalam keadaan yang baik sewaktu dibeli oleh pelanggan.

"JFC mengamalkan polisi gantian semula kepada pemborong bagi beras-beras yang tidak menepati kualiti dan mengikut piawaiaan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Pada Selasa, sebuah video tular di media sosial memaparkan beberapa kampit beras yang sedang melalui proses pembungkusan semula di sebuah kilang dengan mendakwa ia merupakan beras tempatan yang dibungkuskan semula untuk dijual sebagai beras import. - Awani

Artikel Berkaitan: