Tak lena tidur beras 'import' Siam naik harga

Beras Siam jadi pilihan utama masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang bermula daripada kanak-kanak kecil sehingga golongan dewasa. - Foto123RF
Beras Siam jadi pilihan utama masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang bermula daripada kanak-kanak kecil sehingga golongan dewasa. - Foto123RF
A
A
A

KENAIKAN harga beras putih import tidak memberikan apa-apa kesan besar kepada kehidupan penduduk Kelantan mutakhir ini berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Bagaimanapun, kenaikan harga beras Siam antara RM2 hingga RM4 ketika ini membuatkan rakyat Kelantan tidak lena tidur.

Hal itu kerana bahan tersebut adalah makanan ruji sejak zaman berzaman dan kebergantungan terhadap beras Siam dapat dilihat apabila ia menjadi pilihan utama masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang bermula daripada kanak-kanak kecil sehingga golongan dewasa.

Situasi tersebut dapat dilihat apabila kebanyakan pasar-pasar utama di Kelantan termasuklah kedai runcit banyak menjual beras ‘import’ dari Thailand atau beras Siam daripada pelbagai jenama bermula dengan berat lima hingga 25 kilogram (kg).

Tidak cukup dengan itu, ada dalam kalangan pengguna sanggup ‘berpuasa’ sekiranya kehabisan stok bahan mentah tersebut di rumah.

Rasa ‘manis’ dan tidak mudah basi, selain butiran yang besar adalah antara faktor beras Siam menjadi pilihan utama rakyat Kelantan.

Tak hairanlah jika cerita beras Siam naik harga antara topik utama yang hangat dibahaskan di kedai-kedai kopi, selain cerita dunia politik dan isu-isu melibatkan jenayah semasa di negeri ini.

‘Perbahasan’ tersebut selari dengan peranan penting yang dimainkan oleh beras Siam dalam mengenyangkan perut rakyat Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Walaupun menjadi salah satu negeri yang mengeluarkan padi, namun selera rakyat Kelantan lebih tertumpu kepada aroma dan keenakan rasa beras Siam.

Ramai beranggapan makan nasi tanpa beras Siam ibarat menikmati keenakan rasa ulam tanpa dicicah dengan budu. Nilai ringgit yang lebih rendah berbanding Thai Bath ketika ini menjadi penyumbang utama berlakunya kenaikan harga beras Siam di pasaran.

Menurut peniaga runcit, hasil tinjauan Sinar Harian pada Ogos lalu, beras Siam 9kg dijual pada harga RM39.50, manakala bagi beras 5kg, paling murah boleh diperoleh pada harga RM18.50.

Takut simpan stok

Bagi beras 25kg pula sudah mencecah RM82 hingga RM83 dan tidak mustahil akan terus meningkat. Situasi itu menyaksikan peniaga tidak berani mengambil risiko menyimpan bahan mentah tersebut bagi mengelak berdepan kerugian.

Walaupun dibawa masuk menggunakan laluan tidak sah, namun mereka yang terlibat dengan kerja-kerja tersebut ketika ini difahamkan mengambil beras Siam berpandukan kepada permintaan peniaga.

Sementara itu, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Za berkata, kenaikan harga membuatkan dia takut menyimpan stok beras Siam.

Ketika ini dia dan peniaga lain hanya mengambil stok dalam kuantiti sedikit walaupun permintaan sentiasa ada bagi mengelak berdepan kerugian.

Situasi itu berlaku sejak ringgit jatuh apabila peniaga perlu mengeluarkan modal lebih untuk membeli beras Siam.

Peniaga juga ada meluahkan walaupun beras tempatan dijual murah tetapi permintaan sangat perlahan, malah apabila ditawar kepada pembeli, mereka menolaknya.

Kenaikan harga beras putih import memberi manfaat kepada industri padi dan beras negara kerana ia telah mendorong peningkatan permintaan pengguna kepada beras putih tempatan, kata Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azman Mahmood.

Kenaikan harga beras putih import di seluruh negara susulan penyelarasan harga yang dibuat oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas), menyebabkan pengguna kini lebih cenderung membeli beras putih tempatan yang dijual pada harga dikawal iaitu sekitar RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit.

Apabila harga beras putih import melonjak daripada RM33 kepada RM39, ia akan menjadi satu fenomena semua orang akan mencari beras tempatan.

Dahulu sekitar 2021, beras tempatan tiada permintaan. Semua cari beras import sebab harga tidak jauh berbeza, sekarang (beza) RM26 dengan RM39. Semua akan fokus kepada beras tempatan terutamanya peniaga.

Melihat kepada perbezaan harga tersebut, penulis pernah mengajak sahabat handai untuk beralih rasa kepada beras super tempatan bagi mengelak kantung kewangan terus kempis.

Namun, mereka secara berseloroh menjawab gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati.

* Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan

ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan beras putih tempatan pulih dalam tempoh sebulan - Mohamad Sabu

Harga beras import naik: Permintaan beras putih tempatan meningkat

Selesai masalah bekalan beras

Permintaan beras tempatan dapat sambutan

Asingkan kilang beras tempatan, import elak penyelewengan - Cake

Pengilang padi, pemborong beras tingkat bekalan 20 peratus