‘Lihat Zahid sebagai rakyat, bukan TPM atau Presiden UMNO’

Dr Mohammad Aswad Ithnain - Sinar Harian/Rosli Talib
Dr Mohammad Aswad Ithnain - Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat perlu melihat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai rakyat Malaysia dan bukannya Timbalan Perdana Menteri atau Presiden UMNO, yang mempunyai hak untuk diadili secara saksama.

Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata, hak dan keadilan seseorang harus dipatuhi, namun malangnya persepsi negatif yang ditanam sebelum ini begitu mendalam sehingga sukar untuk dikikis.

“Mungkin di sebelah sana (pembangkang) akan bercerita tentang ini (pembebasan pertuduhan terhadap Zahid) adalah satu penyalahgunaan kuasa, tetapi kes beliau telah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

“Kita kena melihat kenapa beliau DNAA, pertamanya tiada bukti yang sah dikemukakan untuk setiap pendakwaan, sebab itulah kes digugurkan. Kalau kita nak katakan ini adalah campur tangan politik, adakah kita mengatakan sistem kehakiman negara telah dicemari? Sudah tentu tidak.

“Baru-baru ini, Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah. Kehakiman yang sama. Jadi, kita haruslah adil dan melihatnya sebagai satu keadilan buat beliau,” katanya dalam Wacana Sinar Siri 411 yang bertajuk ‘PRK: Mood tiga penjuru’.

Program itu dikendalikan hos, Ismail Adnan dan turut disertai panelis, Timbalan Ketua Pemuda Pas Johor, Mohd Azlan Alias; Naib Ketua Armada Bersatu Kota Tinggi, Syafiq Aziz dan Exco Pemuda Amanah Johor, Fadhli Umar Aminolhuda.

Jelas Mohammad Aswad, jika mengatakan terdapat campur tangan terhadap kes berkenaan, ia haruslah bermula daripada awal dan bukannya di tengah atau di penghujung kes.

“Jika kita melihat buku yang dikeluarkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas (My Story: Justice in the Wilderness), ada campur tangan dan motif daripada kerajaan sebelum ini berkait pertuduhan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Pertuduhan asal ada 87 kes tetapi 40 kes telah dilepaskan pada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, tinggal 47 kes yang terkemudian ini dan telah dibebaskan. Kita kena melihat kepada prinsip kalau nak menolak campur tangan itu, kita kena menolaknya daripada awal.

“Kes ini memang ada campur tangan politik di peringkat awal dan dibuktikan oleh Tommy. Sebab itulah Jemaah Menteri setuju untuk ditubuhkan RCI bagi meneliti secara menyeluruh dan melihat jika benar adanya campur tangan atau motif terhadap Zahid,” katanya.

Mohammad Aswad bagaimanapun menyangkal dakwaan adanya campur tangan politik pada masa ini terhadap kes berkenaan kerana tiada bukti.

Wacana Sinar Siri ke 411 menampilkan panelis, Dr Mohammad Aswad (dua dari kiri), Mohd Azlan (tengah), Fadhil Umar (dua dari kanan) dan Syafiq (kanan) serta hos, Ismail (kiri). - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Wacana Sinar Siri ke 411 menampilkan panelis, Dr Mohammad Aswad (dua dari kiri), Mohd Azlan (tengah), Fadhil Umar (dua dari kanan) dan Syafiq (kanan) serta hos, Ismail (kiri). - Foto Sinar Harian/Rosli Talib

“Apa bukti yang mereka katakan ada campur tangan politik dalam sistem kehakiman sekarang, berbanding dengan bukti yang ditonjolkan Tommy pada awal pertuduhan seperti mana yang dinyatakan dalam bukunya,” jelasnya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin, atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu bahawa, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa semua kes terhadap Timbalan Perdana Menteri itu diberhentikan.