Sze Fei-Nur Izzuddin buat Istora Senayan tergamam

SORAKAN padu Istora Senayan nyata gagal menggugat fokus beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani apabila mereka berjaya menundukkan gandingan muda tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin pada aksi final Masters Indonesia, sebentar tadi.
Kemenangan itu sekali gus melengkapkan hari gemilang buat kem badminton Malaysia apabila tiga wakil negara berjaya membawa pulang gelaran juara dari Jakarta.
Dalam aksi final itu, Sze Fei dan Nur Izzuddin yang menghuni ranking kesembilan dunia dipaksa bekerja keras pada set pertama berdepan asakan pantas lawan sebelum berjaya menoktahkan kemenangan 21-19.
Mendapat keyakinan daripada set pertama, pasangan negara itu terus mempamerkan rentak memukau dan aksi lebih kemas pada set kedua untuk menang bergaya 21-13 ke atas pasangan ranking ke-23 dunia itu.
Kejayaan manis itu membolehkan Sze Fei-Nur Izzuddin melunaskan dendam kekalahan kepada pasangan Indonesia tersebut sewaktu aksi separuh akhir Terbuka Australia, tahun lalu.
Terdahulu, pesta kejayaan negara dimulakan oleh beregu campuran utama, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mempamerkan semangat juang luar biasa.
Pasangan itu bangkit daripada ketinggalan dalam aksi yang cukup dramatik sebelum berjaya merangkul kejuaraan.
Lebih manis, kemenangan di Istora Senayan itu mencatatkan sejarah tersendiri apabila Tang Jie-Ee Wei menjadi beregu campuran pertama dari Malaysia yang berjaya menjuarai kejohanan berkenaan.
Kecemerlangan skuad negara turut disumbangkan oleh beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang dinobatkan sebagai juara selepas lawan mereka dari Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi menarik diri daripada aksi final.
Kemenangan percuma itu menghadiahkan gelaran pertama musim ini buat Pearly-Thinaah, selain meletakkan mereka sebagai beregu wanita kedua negara yang berjaya bergelar juara Masters Indonesia, mengulangi pencapaian gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2011.
Ringkasan AI
- Sorakan padu Istora Senayan gagal menggugat fokus Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang berjaya menundukkan gandingan muda tuan rumah pada aksi final Masters Indonesia Kemenangan itu melengkapkan hari gemilang buat kem badminton Malaysia dengan tiga gelaran juara dari Jakarta Sze Fei dan Nur Izzuddin menang bergaya pada set kedua dengan skor 21-13 ke atas pasangan ranking ke-23 dunia Kemenangan itu membolehkan mereka melunaskan dendam kekalahan kepada pasangan Indonesia tersebut sewaktu aksi separuh akhir Terbuka Australia tahun lalu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi beregu campuran pertama dari Malaysia yang menjuarai kejohanan Masters Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
