25,477 kes penipuan dalam talian libat kerugian RM776 juta direkod

Zaldino (tengah) ketika menyampaikan ceramah pada bengkel media dan perbincangan panel berhubung isu penipuan kewangan di Lanai Kijang, Kuala Lumpur pada Selasa.
Zaldino (tengah) ketika menyampaikan ceramah pada bengkel media dan perbincangan panel berhubung isu penipuan kewangan di Lanai Kijang, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 25,477 kes jenayah penipuan kewangan dalam talian membabitkan kerugian RM776 juta dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Timbalan Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zaldino Zainudin berkata, daripada jumlah tersebut, jenayah yang menggunakan modus operandi e-dagang atau platform jual beli dalam talian merekodkan kes tertinggi iaitu 7,907 kes membabitkan kerugian berjumlah RM144.8 juta.

Ujarnya, modus operandi 'phone scam' pula merekodkan sebanyak 6,595 kes dengan kerugian RM236.4 juta diikuti pelaburan tidak wujud iaitu 3,179 kes (RM246.2 juta); pinjaman tidak wujud dengan 2,796 kes (RM26.9 juta), e-kewangan 1,648 kes (RM89.8 juta) dan ‘love scam’ 646 kes (RM31.9 juta).

“Kalau tengok tahun 2020 melibatkan kerugian RM658.6 juta, RM700.2 juta pada 2021, RM850.9 juta (2022) kemudian pada 2023 bulan Januari sehingga Ogos, adalah RM776 juta.

“Jadi trend itu naik, ia tidak turun. Maksudnya, teknologi semakin berkembang, masyarakat lebih menggunakan teknologi, scammer juga akan berkembang,” katanya ketika dalam sesi soal jawab bengkel media dan perbincangan panel berhubung isu penipuan kewangan di Lanai Kijang, Kuala Lumpur pada Selasa.

Sementara itu, menurut Zaldino, usaha pihak berkuasa dalam menjejak dan menahan suspek jenayah kewangan bukannya mudah kerana identiti mereka dalam talian biasanya tersembunyi.

"Ia bukan semudah seperti yang kita lihat dalam televisyen kerana hari ini penjenayah menggunakan teknologi yang baharu malah 'hidden' suspek juga menyukarkan untuk kita sabitkan ke muka pengadilan.

"Bagaimanapun kita tetap mempunyai cara dan kaedah tersendiri apabila mangsa membuat laporan. Apa pun yang penting adalah kesedaran diri sendiri untuk tahu adakah mereka berpotensi terjebak dalam jenayah itu," ulasnya.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir adalah Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar; Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik BNM, Shasha Kartini Ridzam; Timbalan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Kamal Baharin Omar; Timbalan Pengarah, Jabatan Komunikasi dan Peraturan Pos, Bahagian Hal Ehwal Pengguna dan Industri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Wahidatul 'Abdah Aminul Rashid dan Ketua Pegawai Digital Maybank, Kalyani Nair.