Polis buka kertas siasatan terhadap Muhyiddin isu 'fatwa' politik

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Sabtu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Beliau berkata, PDRM menerima satu laporan mengenai kenyataan Muhyiddin itu yang dibuat di sebuah balai polis di sini dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Tindakan selanjutnya polis akan mengambil keterangan beliau (Muhyiddin) dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Sabtu lepas, Ahli Parlimen Pagoh itu semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa "haram memberikan undi kepada Suhaizan."

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 5 September dan hari mengundi pada 9 September ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'Fatwa' haram undi calon PH, Muhyiddin perlu taubat - Tok Mat

Undi calon PH haram: Zahid bidas 'fatwa' politik Muhyiddin

'Kamu siapa haramkan pengundi undi Suhaizan' - Anwar

Fatwa politik haram beri undi kepada saya tak wajar - Suhaizan

Tindakan hasut rakyat: Kerajaan Perpaduan tak akan bertolak ansur

Berkawan dengan Pas, Muhyiddin keluar fatwa haram - Mohamad Sabu