'Fatwa haram' sebab Muhyiddin kawan dengan Pas - Mat Sabu

Mohamad Sabu berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Taman Uda Utama, pada Ahad malam.
Mohamad Sabu berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Taman Uda Utama, pada Ahad malam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan 'fatwa' bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai disifatkan sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jarang menyentuh soal fatwa sebelum ini.

"Saya tak sangka Muhyiddin, orang yang saya hormat, saya jarang sentuh dia tetapi bila dia buat 'fatwa' haram untuk mengundi calon kita (Suhaizan), saya kata inilah akibat berkawan dengan Pas.

"Dia dah mula masuk fahaman takfiri.

"Kita kena jaga, tolonglah masyarakat Malaysia, apa pun perbezaan pandangan, kita jangan 'cop' orang ini terkeluar Islam, orang ini ahli syurga atau orang ini ahli neraka," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Taman Uda Utama, di sini pada Ahad malam.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Suhaizan.

Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dalam ceramah Perdana di Pulai didakwa meletakkan hukum 'haram' bagi mereka yang mengundi Suhaizan.

Muhyiddin mendakwa tindakan tidak mengundi Suhaizan itu perlu bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan didakwa tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, kemenangan calon PH dan Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dan DUN Pelangai di Pahang mampu menyekat kemaraan 'ombak hijau' Pas

"Mereka bimbang sebab kalau perpaduan kita ini berterusan, kita menang di Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai, insya-ALLAH ombak hijau akan berakhir.

"Selepas 9 September nanti kita bergerak ke Bentong, Pahang pula. Kita akan lihat di situ, insya-ALLAH calon daripada BN (akan diletakkan)," katanya lagi.

PRK DUN Pelangai adalah PRK yang keempat diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas PRK Kuala Terengganu, Pulai dan Simpang Jeram.

Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pembangkang risau perpaduan PH-BN - Mohamad Sabu

Tindakan hasut rakyat: Kerajaan Perpaduan tak akan bertolak ansur

Undi calon PH haram: Zahid bidas 'fatwa' politik Muhyiddin

Fatwa politik haram beri undi kepada saya tak wajar - Suhaizan

'Fatwa' haram undi calon PH, Muhyiddin perlu taubat - Tok Mat