Aset udara raikan Affendi yang bakal bersara

Empat pesawat yang membawa bendera ATM, TUDM, TDM dan TLDM pada istiadat perbarisan penghargaan kepada Affendi di Pangkalan Udara (PU) Kuantan pada Isnin.
Empat pesawat yang membawa bendera ATM, TUDM, TDM dan TLDM pada istiadat perbarisan penghargaan kepada Affendi di Pangkalan Udara (PU) Kuantan pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 38 aset udara terlibat dalam istiadat perbarisan penghargaan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Pangkalan Udara (PU) Kuantan di sini pada Isnin.

Istiadat perbarisan penghargaan itu diadakan bagi meraikan hari persaraan beliau yang akan tamat perkhidmatan pada Februari 2024.

Dalam acara, tujuh pesawat statik turut dipamerkan di padang kawat terbabit manakala 31 pesawat pelbagai kategori terdiri pesawat pejuang,angkut dan helikopter yang terdiri daripada aset Tentera Darat (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terlibat dalam lintas hormat di ruang udara.

Antara pesawat yang membuat lintas hormat di ruang udara ialah dua Helikopter EC 725 AP membawa bendera ATM dan bendera TUDM, sebuah Helikopter Agusta A109 LOH milik TDM membawa bendera TDM serta Helikopter AW139 TLDM pula membawa bendera TLDM.

Diikuti, pesawat lain milik TUDM turut mengiringi perbarisan semasa perlahan jalan dan cepat jalan iaitu melibatkan pesawat latihan, tujuh pesawat PC 7 MKII, pesawat pengangkut, sebuah pesawat C130H dan tiga A400M.

Seterusnya, pesawat pejuang yang terdiri daripada lima Sukhoi SU-30MKM, Hawk (tiga) dan F/A-18D (dua), selain tiga helicopter EC 725, masing-masing sebuah Helicopter AW 109 serta helicopter AW 139 (HOM).

Istiadat perbarisan penghargaan ini melibatkan seramai 63 Pegawai dan 723 anggota lain-lain pangkat yang melibatkan dua kontinjen dari TDM satu kontinjen masing-masing dari TLDM dan TUDM yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Hassan Basri Tajul Ariffin dari TUDM.

15 Panji-Panji dari ketiga-tiga perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM telah dibawa berarak di dalam perbarisan penghargaan ini.

Artikel Berkaitan:

Lintas hormat pesawat di ruang udara Kuantan turut dipersembahkan.
Lintas hormat pesawat di ruang udara Kuantan turut dipersembahkan.

Panji-panji yang terlibat adalah tujuh panji-panji daripada TDM masing-masing daripada Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Rejimen Artileri Diraja (RAD) dan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD).

Empat panji-panji daripada TLDM melibatkan panji-panji daripada Kapal Diraja (KD) Duyung, KD Rajawali, KD Panglima Hitam dan Skuadron Frigate Ke-23 manakala panji-panji dari TUDM adalah daripada Rejimen N0 12 Skuadron, No 15 Skuadron dan No 16 Skuadron.

Affendi adalah Panglima ATM ke-21 setelah mengambil alih jawatan berkenaan daripada Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, pada 2 Januari 2020.

Beliau dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 21 Ogos 1962, dan mula memasuki perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia pada tahun 1980 setelah menamatkan pengajian di Maktab Tentera Diraja Malaysia, Sungai Besi.

Selepas ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TUDM dan dianugerahkan sayap penerbangan pada tahun 1982, kerjaya Affendi sebagai Juruterbang Pesawat Pejuang bermula dengan pesawat MB339A, A4-PTM Skyhawk dan MiG-29 Fulcrum sehingga berjaya memperoleh lebih 2,000 jam pengalaman penerbangan.

Sepanjang melaksanakan tempoh operasi sebagai Juruterbang Pesawat Tempur, Affendi telah terlibat secara aktif dalam pelbagai operasi udara di dalam Malaysia termasuk menentang pengganas komunis, meronda Zon Maritim dan ruang udara negara serta turut menjadi pengasas kepada pasukan aerobatik taktikal TUDM MiG-29 yang dikenali sebagai “Smokey Bandit”.

Sepanjang kariernya, Affendi telah menjawat pelbagai jawatan sama ada di peringkat taktikal, operasi dan juga strategik. Antara jawatan penting yang pernah dijawat adalah Panglima Angkatan Bersama, Panglima Operasi Udara TUDM, Timbalan Panglima Tentera Udara dan Panglima Tentera Udara ke-18 sebelum menjawat jawatan sebagai Panglima ATM.

Beliau berjaya membantu negara dalam mengawal penularan pandemik melalui bantuan yang diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dalam Op Penawar dan mengetuai National Task Force untuk menjayakan Op Benteng BENTENG.

Bukan itu sahaja, ATM turut mengatur gerak Hospital-hospital Medan ATM bagi menampung beban sistem kesihatan negara selain turut menggembleng usaha merealisasikan Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan jayanya.

Keprihatinan serta sikap tanggungjawab untuk memelihara kesejahteraan dan keselamatan negara yang sentiasa menjadi pegangan Affendi, membuahkan hasil apabila negara mengisytiharkan peralihan ke fasa endemik pada 1 April 2022.

Affendi membuat pemeriksaan barisan pada istiadat perbarisan di Pangkalan Udara (PU) Kuantan pada Isnin.
Affendi membuat pemeriksaan barisan pada istiadat perbarisan di Pangkalan Udara (PU) Kuantan pada Isnin.

Affendi telah dipilih menghadiri pelbagai kursus ketenteraan dan akademik sama ada di dalam mahu pun di luar negara. Hasil daripada pembelajaran yang telah dilalui, Affendi memiliki Ijazah Sarjana Sastera (Pengajian Strategik) dari Deakin Universiti, Australia dan juga merupakan Ahli Royal College of Defence Studies (RCDS) di London, United Kingdom.

Affendi telah dikurniakan pingat Panglima Tentera Udara (PTU) kerana telah mempamerkan keberaniannya dalam menentang insurgensi komunis di dalam negara

Selain itu, sebagai mengiktiraf segala sumbangan jasa bakti beliau dianugerahkan dengan beberapa pingat dan anugerah sama ada dari negeri mahupun oleh Kerajaan Persekutuan.

Antara penganugerahan tertinggi yang telah dicapai adalah Panglima Gagah Angkatan Tentera dan Panglima Mangku Negara yang telah dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, dengan membawa gelaran Tan Sri.

Terkini, di atas jalinan kerjasama ketenteraan yang erat di antara ATM dan negara-negara jiran, Affendi telah dikurniakan Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang (DPKT) daripada Sultan dan Yang Dipertua Negara Brunei Darussalam.

Sebelum itu, Affendi telah dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) daripada Kerajaan Republik Singapura.

Bukan itu sahaja, beliau turut dianugerahkan Darjah Paduka Keberanian laila Terbilang Yang Amat Gemilang (DPKT) daripada Negara Brunei dan Honorary Officer of the Order of Australia (AO)(Military Division) daripada Negara Australia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!