Malaysia rakam penghargaan kepada kerajaan Nepal

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia merakamkan penghargaan kepada kerajaan Nepal yang membantu dalam urusan membawa pulang jenazah pendaki Everest Leftenan Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub ke tanah air hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan jenazah Allahyarham ketika ini sedang dalam penerbangan MH2646 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan jangkaan tiba pada jam 2.05 petang.

"Kementerian ini juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Nepal, pihak berkuasa tempatan Nepal, penyumbang dana dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan bantuan dalam urusan membawa pulang jenazah sehingga tempat persemadian terakhir di Sabah,” katanya.

Menurut Wisma Putra lagi, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Al-Amin bersama pegawai dari Pejabat Wilayah Sabah dan Bahagian Konsular Kementerian Luar akan menyambut ketibaan jenazah di KKIA.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Awang Askandar yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah tiba di KLIA kira-kira jam 7.30 pagi tadi dari Kathmandu.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Benoni dengan mengikut istiadat penghormatan APM.

Pada sesi penghormatan terakhir yang diadakan di Kompleks Kargo KLIA pagi tadi yang disertai lebih 70 anggota APM, turut diadakan bacaan Yasin dan tahlil dipimpin Lt Bersekutu Pertahanan Awam Miszlee Samais.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff turut berkenan berangkat menziarahi jenazah dan memberi penghormatan terakhir.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Awang Askandar meninggal dunia sehari selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke Gunung Everest dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak, pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut. - Bernama