LIMA'23: Sanusi zahir penghargaan kepada kerajaan Persekutuan

Muhammad Sanusi (kiri) dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menukar dokumen Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim antara Kedah dan Perlis di Wisma Darul Aman pada Isnin.
Muhammad Sanusi (kiri) dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menukar dokumen Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim antara Kedah dan Perlis di Wisma Darul Aman pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan kerana meneruskan penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23).

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penghargaan diberikan khususnya kepada Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan dan agensi persekutuan yang telah bertungkus-lumus menjayakan pameran yang bersejarah tersebut.

Menurutnya, ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada semua agensi kerajaan negeri yang telah membantu menjayakan LIMA'23.

"Kerjasama ditunjukkan cukup bagus, alhamdulillah. Terima kasih kerajaan Persekutuan teruskan LIMA," katanya pada sidang akhbar pada Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim antara Kedah dan Perlis di Wisma Darul Aman dekat sini, pada Isnin.

Mengulas mengenai perkembangan pembangunan Kedah Aerotropolis pula, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya masih menunggu untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, perkara tersebut tidak dibincangkan bersama Anwar pada pertemuan di LIMA'23 lalu kerana kesuntukan masa.

"Tak ada (berbincang mengenai Kedah Aerotropolis). Beliau ada lalu tengok reruai kita mengenai projek tersebut tetapi saya pun tak ada kesempatan panjang nak bercakap mengenai tajuk itu.

"Saya perlu masa lebih panjang dan sesuai. Jumpa di situ tak sesuai," ujar beliau.

Sementara itu, dalam perkembangan lain pula, Pengarah Pilihan Raya Pas pusat itu meminta semua pihak tidak mengheret isu Pas diajak menyertai Kerajaan Perpaduan menjadi lebih panjang.

Menurutnya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata ada orang mahu berjumpanya dan beliau sanggup berjumpa dengan sesiapa sahaja termasuk Anwar.

"Beliau kata 'hat' itu saja dan tak kata pun orang ajak beliau masuk Kerajaan Perpaduan. Dakwaan itu akhbar yang tulis kemudian akhbar ulas, nayalah Tok Guru kalau begitu.

"Tak patut ambil daripada benda-benda begitu kemudian dipanjangkan lagi, sebaliknya balik kepada asal iaitu banyak orang nak jumpa beliau dan Abdul Hadi sanggup jumpa sesiapa pun," katanya lagi.