Karya AI ancam fitrah manusiawi

Sememangnya aplikasi AI banyak memberikan manfaat besar kepada kehidupan manusia hari ini. - Gambar hiasan
Sememangnya aplikasi AI banyak memberikan manfaat besar kepada kehidupan manusia hari ini. - Gambar hiasan
A
A
A

CHATGPT adalah salah satu sistem kecerdasan buatan (AI) berasaskan chatbot yang mampu menjana penulisan untuk menyokong penulis dalam pengkaryaan kreatif.

Perkembangan terkini tentang pelaburan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan komunikasi satelit Starlink akan menyaksikan capaian internet yang lebih laju dan meluas termasuk di kawasan pedalaman.

Penggunaan teknologi AI dan akses internet yang canggih dilihat sebagai ancaman bagi perkembangan kreativiti berseni insani yang murni.

Rencana berjudul Revolusi AI dalam karya kreatif siaran Sinar Ahad baru-baru ini telah menimbulkan beragam tanggapan khususnya daripada para penulis dan profesional.

Penulis, Zamri Mohamad beranggapan ‘pukulan terbaik’ pada rencana tersebut adalah data perbandingan antara perbezaan kecerdasan buatan (AI) dan kepintaran semula jadi manusia berdasarkan analisis pantun tradisional dengan pantun karya AI.

“Teknologi AI membantu dalam mengatasi kekangan berfikir atau writer’s block dengan memberikan beberapa alternatif terhadap soalan atau permintaan yang diajukan,” katanya.

Zamri berpesan agar penulis tidak mengambil bulat-bulat sebaliknya cukup untuk menggerakkan semula proses berfikir yang terganggu ketika menulis.

“Sikap bekerja terhadap teknologi AI mesti berpaksikan kepada tahu bila mahu bermula dan bila akan berhenti supaya kita tidak bergantung sepenuhnya dan masih menggerakkan daya kreativiti daripada kecerdasan semula jadi,” serunya.

Artikel Berkaitan:

AI TIDAK KENAL BUDAYA

Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan sudah lama menyedari bahawa AI tidak mampu menghasilkan pantun kerana AI tidak mengenali budaya.

“AI mungkin tahu bahasa tapi adakah ia berbudaya dan berperasaan?” tanyanya.

Bahkan menurutnya, penulisan sajak yang dihasilkan oleh AI juga dengan ayat yang panjang dan banyak unsur pengulangan.

Guru selebriti, Zack Kirana, menyifatkan penggunaan AI yang berlebihan akan meningkatkan kebergantungan pengkarya terhadap teknologi yang secara tidak langsung akan mengurangkan daya fikir dan imaginasi mereka.

Dari kiri; Zack Kirana, Zurinah dan Abdullah.
Dari kiri; Zack Kirana, Zurinah dan Abdullah.

“Namun, dari sudut positifnya, mungkin bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang sastera terutamanya yang sering rasa kecewa dengan karya sendiri, AI boleh dijadikan asas untuk menggalakkan kreativiti,” ulasnya.

Ferri Anugerah Makmur, penulis dan bekas pramugara MAS kelahiran Bandung Indonesia, berpendapat bahawa AI akan memalukan fitrah kemanusiaan.“Keaslian alam adalah cerminan karya cipta akal yang mengatur gerak hati menuju keberhasilan penulisan. Jujur merasuk mencari kesempurnaan bicara,” jelasnya.

Katanya lagi, roh hasil ukir seni tangan manusiawi tidak akan mampu diduplikasikan secara robotik. Bukan sahaja ia bakal kaku memalsukan fitrah seni, bahkan menghilangkan nyawa serinya.

Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Profesor Emeritus Abdullah Hassan menyarankan agar ChatGPT dan aplikasi lain dikuasai penggunaannya oleh setiap penterjemah, walaupun sedar keupayaan ChatGPT hanya memberi terjemahan mentah.

“Hasil terjemahan ChatGPT perlu disunting. Itu yang membezakan hasilnya. Terjemahan menjadi baik atau buruk bergantung pada kemahiran penterjemah dalam penguasaan bahasa sumber, bahasa sasaran, dan pengetahuan penterjemah dalam kandungan teks,” jelasnya.

Mantan Pengarah, Education Malaysia Beijing, China, Abdul Aziz How Abdullah optimis dengan perkembangan AI yang sedang berevolusi sehingga mencapai tahap yang boleh menandingi pemikiran manusia.

“Kita boleh jangkakan lima tahun akan datang, AI berfungsi sebagaimana kehendak manusia. Namun, saya tetap yakin, teknologi tetap ada batasannya, sebab ia ciptaan manusia bukannya ciptaan Pencipta yang sebenar,” ujarnya.

BELUM MAMPU CIPTA LAGU

Laporan Sinar Ahad pada 16 Julai lalu.
Laporan Sinar Ahad pada 16 Julai lalu.

Koordinator Bidang Pendidikan Seni Muzik dan Perniagaan Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Md Jais Ismail menyatakan bahawa setakat ini AI belum mampu untuk mencipta lagu, menggubah not muzik, atau mencipta muzik bagi mengiring bait-bait puisi.

Meskipun demikian, katanya, AI telah menunjukkan kapasiti luar biasa dalam penulisan dengan idea-idea yang berstruktur, logik, dan kemas.

“Ia mempunyai manfaat buat pelajar dan ahli akademik untuk menjadikan AI sebagai platform mencari idea dan menghasilkan sesuatu yang lebih segar dan berkualiti. Namun, tidak dinafikan ia disalah guna oleh individu tertentu mencari jalan mudah dengan hanya meniru ayat-ayat daripada AI dan mengiktirafnya sebagai hasil kerja sendiri,” ujarnya.

Dr Zainatul Shuhaida Abdull Rahman daripada Jabatan Penulisan Kreatif, UiTM pula berpendapat, walaupun teknologi AI mendahului namun tidak dapat menyaingi dan menandingi konsep pemikiran kreatif dan kritis terutama dalam penulisan yang memerlukan pembentukan kata yang gramatis dan puitis. “Seperti bahasa dan makna yang intrinsik dalam pengucapan dialog drama sebagai contoh bahasa improvisasi dan dalam proses penciptaan puisi moden yang menuntut bahasa-bahasa metafora. Makna-makna tersirat dan susunan gaya dramatik tidak boleh diimitasi oleh AI,” ulasnya.

Menurut Dr Nurul Huda Mohd Din daripada Pengajian Budaya Visual, UiTM, perkembangan AI dalam seni dan budaya adalah hal yang positif.

Katanya, teknologi ini dapat berperanan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan artifak serta produk seni tradisional. Dengan penggunaan yang bijaksana, AI dapat membantu menyelesaikan tugas-tugas khusus di makmal atau studio, seperti memproses dan memetakan data.

“Menerusi pendekatan teknologi generative AI ini dapat menginjak para penggiat seni untuk mencipta karya yang lebih kontemporari inovatif melalui penggabungan elemen interaktif seperti audio, pergerakan, dan kesan visual,” simpulnya.

Kehadiran teknologi AI yang canggih di alam pengkaryaan kreatif turut menghadirkan kegalauan jiwa khalayak pengkaryanya. Sesungguhnya kemudahan AI menawarkan pelbagai potensi manfaat kepada pengguna. Sekali gus ia juga berpotensi mengancam perkembangan nilai murni, keaslian, dan kemanusiaan dalam penghasilan karya kreatif.

Ia terletak pada kearifan, kematangan, dan keintelektualan pengguna meneliti baik buruknya sebelum memutuskan tahap penggunaan kemudahan AI untuk keperluan pengkaryaan mereka.

* Harlym Yeo ialah Pengurus Pemasaran dan Perunding Pendidikan Kreatif di sebuah kolej swasta di Bandar Sunway, Selangor