Isu Infineon: Tambahan pelaburan dimaklum tahun lepas, bukan pelaburan baharu

Sanusi
Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pelabur dari Jerman, Infineon Technologies AG (Infineon) di Kulim telah memaklumkan pada tahun lepas untuk membuat pelaburan tambahan di Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ketika itu Infineon turut memohon tanah tambahan di belakang kilang sedia ada bagi tujuan pelaburan baharu tersebut.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan ketika beliau mengadakan lawatan ke kilang tersebut pada Julai 2022 untuk merasmikan unit baharu syarikat Jerman itu.

“Tahun 2022, saya pergi kilang Infineon di Kulim untuk tengok rancangan mereka mahu tambah pelaburan lagi RM25 bilion. Pada majlis itu, saya dan wakil syarikat Infineon merasmikan satu unit baharu.

“Mereka maklum mahu tambah pelaburan di Kulim, minta tanah belakang kilang. Kita pun luluskan dan pajak tanah belakang yang dipohon,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Sanusi memaklumkan, kilang Infineon sudah berada di Kulim sejak 17 tahun lalu dan mula beroperasi pada tahun 2006.

“Tiba-tiba Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) kata baru lulus pelaburan Infineon. Saya tau lama dah sebab mereka yang bagi tau, tahun lepas lagi. Pelaburan tambahan itu diputuskan lama dulu. Kedah sediakan tapak (tanah) dan keperluan di sini saja.

“Isunya Anwar kata dia yang bawa pelaburan itu atas usaha Kerajaan Perpaduan dan pilih Kedah kerana dia tak pinggirkan Kedah. Orang gelak lah. Saya pun tak ‘claim’ saya bawa Infineon sebab mereka sudah 17 tahun di sini dan mahu kembangkan bisnes sebab Kedah tapak terbaik. Yang Anwar pulun nak kredit pasai apa?” soalnya.

Pada Jumaat, Anwar dalam ucapannya sempena Ta’aruf Perpaduan di Jitra memberitahu, pelaburan tambahan RM25 bilion (Infineon) di Kulim adalah hasil rundingan Kerajaan Perpaduan dengan pelabur Jerman.

Anwar mendakwa, keputusan itu dicapai setelah Kedah gagal memuktamadkan rundingan selama 13 bulan, menyebabkan pelabur tersebut berunding dengannya sebulan lalu.

Sanusi sebaliknya menempelak Anwar yang cuba meraih kejayaan itu kononnya atas usahanya menarik pelaburan ke Kedah.

Gambar yang dirakam pada 7 Julai 2022, menunjukkan Muhammad Sanusi (tengah) merasmikan perletakan batu asas kilang Infineon di Kulim Hi-Tech Park.
Gambar yang dirakam pada 7 Julai 2022, menunjukkan Muhammad Sanusi (tengah) merasmikan perletakan batu asas kilang Infineon di Kulim Hi-Tech Park.

“Saya nak bagi tau, Infineon beroperasi di Kulim 17 tahun dan sekarang hendak tambah sahaja pelaburan. Bukan pelaburan baharu, benda sudah ada dia kata baru nak mai (datang),” katanya.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan hanya memberi geran membina infrastruktur seperti jalan dan longkang di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) malah mengutip semua cukai industri, sementara pihak berkuasa tempatan (PBT) mengutip cukai pintu selain tawaran kerja kepada rakyat.

“Anwar dakwa KHTP projek Persekutuan, kenapa duit pembangunan untuk ambil tanah Kedah (Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah) kena pinjam dan bayar balik. Ia dikira hutang. Dasar baru PKNK kena letak cagaran pula itu?

“Kenapa tak malu mengaku itu projek Persekutuan sedangkan kami kena bayar hutang membangunkan tempat itu? Kalau ia milik mereka, buatlah taman industri seperti itu di Wilayah Persekutuan,” jelasnya.

Pada Ahad, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tampil dengan penjelasan susulan dakwaan terdapat pihak cuba mengambil nama atas pelaburan terbaharu Infineon.

Menerusi perkongsian di laman media sosial TikTok, beliau mendakwa pelaburan syarikat penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman itu merupakan pelaburan tambahan dan dilakukan atas dasar kestabilan politik.

Ujarnya, pelaburan itu bukan pelaburan yang diumumkan tahun lepas, tetapi merupakan pelaburan tambahan ketika bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Infineon tambah pelaburan kerana yakin kestabilan politik negara - Anwar

Pelaburan Infineon: Ramai cuba 'ambil kredit', Tengku Zafrul tampil penjelasan