KPKT lulus RM68 juta untuk Perak, terbesar dalam sejarah

Kor Ming meninjau keadaan kolam takungan Jalan Putra Pertama sempena program Sentuhan Kasih KPKT ke Parlimen Tambun dekat Ipoh pada Isnin.
Kor Ming meninjau keadaan kolam takungan Jalan Putra Pertama sempena program Sentuhan Kasih KPKT ke Parlimen Tambun dekat Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM68 juta kepada negeri Perak yang merupakan terbesar dalam sejarah negeri.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan besar setakat Ogos itu bagi menyokong projek pembangunan dan infrastruktur di semua 15 kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Peruntukan RM68 juta ini sangat banyak dan ini merupakan (peruntukan) paling tinggi menunjukkan betapa penting dan bertuahnya negeri Perak ini.

"Kita ada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang kita sayangi di sini (Ahli Parlimen Tambun), Timbalan Perdana Menteri yang kita hormati (Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan ada menteri KPKT.

"Saya akan berikan perhatian khusus kepada negeri ini," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja program Sentuhan Kasih KPKT ke Parlimen Tambun dekat sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPKT, Muhammad Razman Abu Samah; Exxo Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, antara projek pembangunan berskala besar dilaksanakan menerusi peruntukan tersebut termasuklah pembinaan semula pasar baharu.

"KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan sentiasa bekerjasama dengan PBT bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam lawatan itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM10.73 juta kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi kerja naik taraf, penyelenggaraan infrastruktur awam dan penggantian lif.

Daripada jumlah itu katanya, RM4.95 juta diluluskan bagi projek pembangunan dalam kawasan Parlimen Tambun antaranya mengganti longkang di Medan Selera Taman Perpaduan, ganti bumbung dan kerja mengecat di Pasar Tanjung Rambutan dan projek turap jalan serta naik taraf dewan orang ramai di Kanthan Baru, Tanah Hitam, Changkat Kinding dan Kuala Kuang.

"Dalam Sentuhan Kasih ke Parlimen Tambun hari ini, saya telah diberikan pesanan khusus oleh Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri).

"Beliau sentiasa pesan, Kor Ming kena jaga Tambun baik-baik, jaga kebajikan dan kesejahteraan, warga Tambun (kena) sentiasa diberikan perhatian yang utama," katanya.

Sesi lawatan kerja kali ini melibatkan tinjauan keperluan awam serta infrastruktur di Pasar Tanjung Rambutan, kolam takungan Jalan Putra Pertama, Bandar Baru Tambun, Taman Rekreasi Woodland dan Dewan Komuniti Taman Perpaduan.