Kaedah penyamaran berkesan banteras rasuah

Kawalan di sempadan negara perlu dipantau ketat bagi mengelak sebarang penyeludupan barang terlarang dan pencerobohan PATI. (Gambar kecil: Zainal Alimuddin)
Kawalan di sempadan negara perlu dipantau ketat bagi mengelak sebarang penyeludupan barang terlarang dan pencerobohan PATI. (Gambar kecil: Zainal Alimuddin)
A
A
A

SHAH ALAM - Kaedah penyamaran yang dilakukan anggota khas bagi memantau rasuah di setiap pintu masuk termasuk di sempadan negara merupakan satu kaedah yang tepat dan berkesan dalam membanteras gejala itu.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Pulau Pinang, Profesor Dr Zainal Alimuddin Zainal Alauddin berkata, kewujudan anggota khas khususnya daripada daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan 'merungkai rahsia' pihak tidak bertanggungjawab yang membenarkan aktiviti penyeludupan dan pendatang tanpa izin (PATI) mudah memasuki Malaysia.

“Jika SPRM tidak mempunyai kakitangan mencukupi, mungkin anggota khas daripada badan keselamatan lain boleh berbuat demikian.

“Ia bertujuan menyekat jenayah rasuah di pintu sempadan tetapi perlu dilakukan secara berhati-hati,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian pada 18 Ogos bahawa SPRM perlu mewujudkan satu unit penyamaran dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk kenal pasti pelaku di sebalik ‘SOP Gelap’.

Kata Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim, SPRM perlu meletakkan satu unit penyamaran dalam jabatan itu bagi mengenal pasti kewujudan prosedur kemasukan warga asing di pintu masuk negara dengan menerima rasuah dan siapakah pelakunya.

Sementara itu, Zainal Alimuddin berpandangan, penyiasatan terhadap rasuah perlu dilaksanakan dengan telus tanpa mengira kedudukan seseorang.

Artikel Berkaitan: