Golongan pertengahan, PKS keutamaan Belanjawan 2024

Steven Sim menyampaikan ucapan ketika Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Pulau Pinang di Bukit Mertajam pada Jumaat.
Steven Sim menyampaikan ucapan ketika Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Pulau Pinang di Bukit Mertajam pada Jumaat.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan akan memfokuskan cara mengukuhkan golongan pertengahan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menyediakan Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada Oktober nanti.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, penekanan itu dibuat berikutan kedua-dua golongan itu paling terjejas ketika penularan Covid-19 lalu.

"Antara perkara utama yang akan kita teliti ialah mengukuhkan kelas pertengahan. Ini kerana mereka adalah golongan paling terjejas semasa pandemik.

"Jadi, itu akan menjadi salah satu fokus utama kita dalam bajet akan datang. Sebenarnya, pengukuhan kelas pertengahan juga menjadi tumpuan dalam Bajet 2023," katanya ketika ditemui selepas Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.

Steven Sim menambah, bagi PKS pula, kerajaan akan memperkasakannya kerana golongan itu merupakan penjana pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Oleh itu, dalam fokus kita untuk mengurangkan beban kos sara hidup, kerajaan akan melihat bukan sahaja dalam mengurangkan kos barangan tetapi meningkatkan pendapatan perniagaan.

“Salah satu strategi Kerajaan Madani ialah meletakkan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) dalam pelaburan.

"Ia bagi menjana jumlah pelaburan negara kerana sebelum ini terdapat banyak keluhan dari usahawan tempatan yang merasakan mereka adalah kelas kedua berbanding Pelaburan Langsung Asing (FDI)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai cukai barangan mewah, beliau berkata, kerajaan mengambil perhatian mengenai isu tersebut dan akan mengadakan dialog bersama pemegang taruh.

"Satu sesi dialog akan diadakan untuk membincangkan perinciannya sebelum membuat sebarang pengumuman lanjut.

"Semua perincian termasuk 'threshold' harga barangan mewah yang akan dikenakan cukai juga akan dibincangkan. Hanya selepas dialog perbincangan kita akan buat pengumuman seterusnya," jelas beliau lagi.

Sementara itu, dalam ucapannya, Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, Belanjawan 2024 akan mendukung Malaysia mencapai wawasan Ekonomi Madani antaranya mengangkat semula darjat dan martabat negara.

"Usaha itu boleh dicapai dengan menstruktur semula ekonomi dan meningkat kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.

"Misi kerajaan akan memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi, kemampanan fiskal, daya saing dan penyerantauan, tata kelola yang baik, pertumbuhan inklusif, pekerjaan dengan gaji bermakna, serta kesaksamaan peluang," katanya.

Beliau berkata, Pulau Pinang merupakan negeri ketiga bagi siri jelajah tersebut yang mana, Kementerian Kewangan akan meneruskannya ke semua negeri dan dijangka berakhir pada 22 September ini.

"Ia bagi mendapatkan maklumat berkenaan keperluan setiap sektor untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2024," katanya.