170 banduan dibebaskan secara berlesen di lima negeri

KUALA LUMPUR - Seramai 170 banduan dibebaskan secara berlesen pada Rabu di lima negeri di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ke-66.
Lima negeri yang terlibat ialah Melaka, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Di MELAKA, sebanyak 36 banduan dibebaskan awal di bawah PBSL Ihsan MADANI dan 21 daripada mereka diambil bekerja oleh majikan manakala enam banduan akan dibawa pulang keluarga masing-masing dan sembilan akan ditempatkan di rumah perantaraan (RP).
Timbalan Pengarah Sungai Udang Melaka, Penolong Kanan Komisioner Penjara, Mohd Hafizey Yahaya berkata, kesemua banduan berkenaan melibatkan pesalah kes dadah sama ada mengedar, menagih atau urin positif yang menerima hukuman penjara di bawah tempoh tiga tahun.