“Kekurangan tidak sesekali patahkan semangat..”

David bangga harum negara dalam sukan paralimpik

A
A
A

DAVID
DAVID



KUALA LUMPUR - Kekurangan fizikal tidak pernah sesekali melunturkan semangat dan keazaman David V.G Cherian, 61, untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.

Sebaliknya, bapa kepada dua anak yang bergerak sepenuhnya dengan bantuan kerusi roda ini menggunakan bakat semula jadi untuk menggapai kecemerlangan dalam banyak acara sukan.

David yang juga atlet paralimpik itu berjaya membuktikan dia serius dalam sukan olahraga (berkerusi roda), bola keranjang dan ping pong malah diberi kepercayaan mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Menceritakan keadaan dirinya ketika zaman remaja, David mengakui merasa agak tersisih kerana tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti insan yang lain kerana kedua-dua belah kakinya lumpuh akibat jangkitan yang mana sebelum itu dia menghidap penyakit polio.

DAVID
DAVID

Namun, minatnya yang kuat serta mendalam dalam bidang sukan mengatasi segalanya sehingga mendorongnya untuk bangkit walaupun mengalami kesukaran untuk bergerak.

"Ketika itu saya suka tengok orang main bola, mereka (ahli keluarga) letakkan saya atas kerusi dan saya menangis ketika melihat mereka dapat bermain bola sementara saya pula tidak boleh bermain.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang pun kalau saya teringat keadaan pada masa itu saya masih rasa mahu menangis," katanya ketika menerima kunjungan Jejak Wira 3.0 Sinar Harian bersama LBS Bina Group Berhad yang turut disertai Hospital Pakar KPJ Tawakkal.

LBS Bina Group Berhad diketuai Pengurus Perhubungan Korporat dan Media Digitalnya, Norazian Abdul Aziz manakala Hospital Pakar KPJ Tawakkal diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Sofian Ismail.

David menerima sumbangan barangan keperluan kesihatan yang disampaikan oleh Norazian (dua dari kanan).
David menerima sumbangan barangan keperluan kesihatan yang disampaikan oleh Norazian (dua dari kanan).

Dalam kunjungan ke kediaman David di Taman Maju, Sentul di sini pasukan petugas perubatan dari Hospital Pakar KPJ Tawakkal yang turut memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada atlit paralimpik negara itu.

Meneruskan perkongsian pengalamannya, David memberitahu keinginannya untuk aktif dalam acara sukan dilihat semakin kelam selepas berhenti sekolah, namun keadaan mula berubah ketika dia berusia 16 tahun.

"Saya mendapat peluang untuk masuk ke sebuah sekolah vokasional di Cheras ketika berusia 16 tahun. Di sana, saya lihat macam-macam acara sukan saya boleh main (sertai).

"Acara badminton, ping pong, bola keranjang, bola tampar dan banyak lagi acara sukan. Semuanya saya belajar," katanya.

Hasilnya menurut David, dalam tempoh tiga bulan selepas itu dia berjaya menjadi pemain nombor satu dalam banyak acara sukan dan kemudiannya berjaya mewakili negeri Selangor.

Setelah tamat pengajian di sekolah vokasional, dia kemudiannya bergerak aktif dalam acara sukan di bawah kendalian badan sukan di Wilayah Persekutuan.

David yang juga atlet paralimpik itu berjaya membuktikan dia serius dalam sukan olahraga (berkerusi roda), bola keranjang dan ping pong malah diberi kepercayaan mewakili negara ke peringkat antarabangsa.
David yang juga atlet paralimpik itu berjaya membuktikan dia serius dalam sukan olahraga (berkerusi roda), bola keranjang dan ping pong malah diberi kepercayaan mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

"Ketika itu saya hanya fokus dalam bidang sukan sahaja kerana saya yakin mampu lakukan. Ada orang pernah caci, hina keadaan saya ini dan ada pula anggap saya hanya mampu meminta sedekah.

“Tetapi saya buktikan bahawa mereka salah. Kekurangan saya tidak sesekali patahkan semangat saya untuk berjaya”, tegas David yang turut menyatakan bahawa dia tidak pernah mensia-siakan peluang yang ada.

Tambah David, dia menggunakan peluang yang ada untuk membangunkan diri dan mengubah kehidupannya.

Malah, setiap hari dia sentiasa bangun awal kira-kira jam 5 pagi sebagai satu disiplin yang dianggapnya adalah asas untuk berjaya.

Bangga mewakili negara

Dalam tempoh setahun selepas itu katanya, dia berjaya serta berbangga apabila mewakili Malaysia dalam pelbagai acara sukan paralimpik yang dianjurkan di dalam dan luar negara.

"Saya hanya tumpu kepada pelajaran dan acara sukan yang saya sertai. Dalam tempoh setahun, saya berjaya dipilih menjadi pemain negara.

David menjalani pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan seorang petugas daripada Hospital Pakar KPJ Tawakkal.
David menjalani pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan seorang petugas daripada Hospital Pakar KPJ Tawakkal.

“Bangga apabila kita dipilih wakili dan harumkan nama negara," jelasnya yang membawa pulang pelbagai pingat selain memperoleh penghormatan daripada dalam kalangan pegawai sukan serta rakan-rakan atlit.

Cabaran sentiasa menanti menurut David apabila dia telah diminta untuk memberikan fokus kepada sukan ping pong ketika dalam usia 30-an yang mana ia bukan satu perkara yang mudah.

Katanya, terdapat tujuh kategori dipertandingkan dalam sukan itu dan dia terlibat dalam kesemua kategori tersebut kerana kedudukannya (ranking) sebagai pemain nombor satu orang kurang upaya (OKU) dalam negara.

Walaupun sudah bergelar bintang sukan, David tetap dengan sikap merendah diri selain menyatakan kejayaan yang dikecapinya itu adalah hasil dorongan isterinya, Micheal Mary, 64 yang tidak putus-putus memberikan semangat serta kekuatan kepadanya untuk berjaya.

Sementara itu, Norazian ketika ditemui memberitahu bahawa pihaknya berharap Sinar Harian dapat meneruskan projek Jejak Wira pada masa depan bagi menghargai sumbangan wira negara seperti David untuk tatapan rakyat Malaysia khususnya kepada generasi muda.

Rombongan LBS Bina Group Berhad dan Hospital Pakar KPJ Tawakkal yang diketuai oleh Norazian (dua dari kanan) bersama Mohamad Sofian (kanan)bergambar bersama David di kediamannya di Taman Maju, Sentul, Kuala Lumpur.
Rombongan LBS Bina Group Berhad dan Hospital Pakar KPJ Tawakkal yang diketuai oleh Norazian (dua dari kanan) bersama Mohamad Sofian (kanan)bergambar bersama David di kediamannya di Taman Maju, Sentul, Kuala Lumpur.

Menurutnya, projek Jejak Wira ke rumah insan istimewa itu merupakan projek ketiga LBS Bina Group Berhad bersama Sinar Harian yang diadakan bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

"Menerusi projek kerjasama ini LBS Bina Group Berhad bersama Sinar Harian ini, kita akan mengenal-pasti wira-wira negara dan seterusnya mengikuti perkembangan dan keadaan semasa mereka.

"Satu ketika dahulu, wira negara ini banyak menyumbang tenaga dan jasa mereka kepada negara dan seramai tiga wira negara yang berbeza latar belakang telah terpilih dalam projek kerjasama pada kali ini.

"Ada atlet negara, atlet paralimpik negara dan veteran polis serta tentera terlibat. Usaha ini merupakan antara komitmen LBS di bawah program tanggungjawab sosial korporat LBS," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!