Malaysia #QuranHour platform terbaik tarik anak muda dekati al-Quran

Dari kiri: Abdul Qawiy, Faris Hadi
Dari kiri: Abdul Qawiy, Faris Hadi
A
A
A

PUTRAJAYA - Golongan muda yang ideal adalah pemuda yang bertakwa kepada ALLAHSWT dan menjalankan peranan dakwah kepada masyarakat menerusi ajaran al-Quran agar Islam terus berkembang kepada seluruh umatnya.

Sehubungan itu, Naib Johan Majlis Tilawah al-Quran Selangor 2023, Faris Hadi Taufik berpandangan, platform Malaysia #QuranHour menjadi landasan yang baik untuk menarik minat golongan muda untuk mendekati dan menerapkan kitab suci itu dalam mendepani kehidupan serta cabaran akan datang.

"Sebagai orang muda, ketika ini adalah waktu terbaik untuk kita dekatkan diri, menggali dan mencari ilmu seluas mungkin dalam al-Quran untuk dijadikan sebagai panduan hidup.

"Saya menyeru kepada orang muda untuk menimba ilmu sebanyak mungkin, jangan tunggu waktu tua baru nak cari peluang ini, (perlu) bermula sekarang.

"Guna juga platform media sosial sebaik mungkin untuk mencari atau menyampaikan ilmu bermanfaat kepada masyarakat supaya kita menjadi pemimpin yang abrar (soleh)," katanya ketika ditemui selepas program Malaysia #QuranHour pada Rabu.

Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin membawa tema 'Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar' sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dengan membawa misi Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr.

Faris Hadi yang bertugas sebagai qari jemputan pada program berkenaan turut berharap agar golongan muda diberi peluang untuk menyertai program berprestij itu di masa akan datang.

Peserta yang menyertai Malaysia #QuranHour pada Rabu. - Foto Sinar Harian / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Peserta yang menyertai Malaysia #QuranHour pada Rabu. - Foto Sinar Harian / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Artikel Berkaitan:

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada penganjur Malaysia #QuranHour kerana menjemput dan beri peluang kepada saya untuk menjayakan program ini.

"Untuk masa akan datang, diharap dapat melibatkan lebih ramai golongan qari dan pentadabbur daripada golongan muda agar mereka rasa diperlukan dalam mengimarahkan program keagamaan," ujarnya.

Sementara itu qari jemputan, Abdul Qawiy Abd Rashid mengingatkan golongan muda sentiasa menjaga batasan ketika bersosial agar Islam tidak dipandang serong oleh masyarakat luar.

"Tidak salah untuk bergembira dengan bersosial kerana itu adalah naluri orang muda, namun perlu ingat, jaga batasan, terhadkan perlakuan agar kesucian Islam terjaga.

"Kalau boleh, niatkan apa yang ingin dilakukan kerana Allah SWT. Insya-ALLAH terhindar dari perkara yang dimurkai," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Malaysia #QuranHour berlangsung hari ini

Malaysia #QuranHour: Orang ramai mula banjiri Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

Malaysia#QuranHour: Jadikan al-Quran sebagai tonggak utama kehidupan

Malaysia #QuranHour medium generasi muda dekati al-Quran

Tidak pernah terlepas sertai program #QuranHour