Malaysia#QuranHour: Jadikan al-Quran sebagai tonggak utama kehidupan

Hampir 200 peserta di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sejak 11 pagi
untuk menyertai Malaysia #QuranHour di Terengganu.
Hampir 200 peserta di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sejak 11 pagi untuk menyertai Malaysia #QuranHour di Terengganu.
A
A
A

KUALA NERUS - Program tahunan Malaysia #QuranHour merupakan platform kepada umat Islam supaya mempunyai hala tuju dengan menjadikan al-Quran sebagai tonggak utama dalam kehidupan.

Pengarah program Festival Quran (Quran Fest) dan Malaysia #QuranHour Terengganu, Muhammad Syafiq Mohd Sakri berkata, ia juga berjaya menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk terus menjadikan rutin membaca al-Quran pada setiap hari.

"Kita nak bergerak atas panduan. Kita mungkin sudah ada kapal di mana kapal itu berada dalam keadaan baik iaitu sudah ada layar dan kemudahan disamping sudah ada kapten tetapi sebenarnya tidak ada lagi hala tuju.

"Jadi dengan adanya program seperti #QuranHour, kita nak ada hala tuju untuk bawakan al-Quran sebagai tonggak utama dalam kehidupan setiap insan.

"Walaupun ada yang katakan bahawa mereka bukan dari bidang al-Quran dan sebagainya namun al-Quran untuk semua umat Islam yang mengucapkan kalimah shahadah. Jadi al-Quran perlu dijadikan suatu panduan dalam kehidupan selain hadis sebagai tauladan kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian sempena program Malaysia #QuranHour di Terengganu di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini pada Rabu.

Muhammad Syafiq
Muhammad Syafiq

Mengulas lanjut, Muhammad Syafiq berkata, pihaknya ingin melahirkan ramai pemimpin terutama golongan muda supaya terus berbuat baik dan melakukan kerja-kerja kebajikan.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contoh program Festival Quran (Quran Fest) selama tiga hari bermula Isnin lepas melibatkan peserta dan ahli jawatankuasa program yang kebanyakan terdiri daripada golongan belia.

"Alhamdulillah, menerusi usaha ini juga melatih mereka menjadi insan yang baik sekali gus melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang aktif lakukan kerja-kerja kebajikan," ujarnya.

Selain itu, katanya, hampir 200 peserta di negeri ini terlibat dalam program berkenaan yang berlangsung jam 12 tengahari tadi.

Beliau menambah pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program diadakan sejak 28 Ogos lepas antaranya antaranya bengkel tajwid, tadabbur dan forum.

Masjid UniSZA menjadi lokasi perdana bagi program tahunan Malaysia #QuranHour di Terengganu yang diadakan serentak pada 30 Ogos.

Malaysia #QuranHour yang diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini bakal membawa agenda anak muda dan peranan orang dewasa dalam misi 'Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar'.

Acara yang memasuki tahun kesembilan itu juga bersiaran langsung dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada jam 12 hingga 1 tengah hari.