Empat termasuk kanak-kanak nyaris lemas bot karam

Pasukan Maritim Malaysia menyelamat mangsa bot karam dalam kejadian di perairan Kampung Puyut, Lahad Datu.
Pasukan Maritim Malaysia menyelamat mangsa bot karam dalam kejadian di perairan Kampung Puyut, Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Empat termasuk seorang kanak-kanak nyaris lemas selepas bot yang dinaiki karam dalam kejadian di perairan Kampung Puyut di sini, pada Selasa.

Kesemua mangsa berusia antara 10 hingga 40 tahun diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira jam 1 tengah hari.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, ketika kejadian, bot pam terbabit membawa empat penumpang iaitu tiga penumpang wanita bersama seorang kanak-kanak.

"Mereka dipercayai dalam perjalanan dari jeti Pasar Lahad Datu ke Kampung Lok Bikin Pulau Sakar dan ketika kejadian semua mangsa tidak memakai jaket keselamatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, kejadian itu berjaya dikesan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang berada berhampiran kawasan kejadian.

Sebuah bot pam yang dinaiki mangsa karam berhampiran perairan Kampung Puyut, Lahad Datu.
Sebuah bot pam yang dinaiki mangsa karam berhampiran perairan Kampung Puyut, Lahad Datu.

"Operasi menyelamat mangsa segera dilaksanakan dan kesemuanya berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

"Mangsa kemudian dihantar ke Kampung Lok Bikin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Mohd Rizam dalam pada itu menasihatkan semua komuniti maritim supaya mengutamakan pemakaian jaket keselamatan ketika di laut.

"Jaket keselamatan ini perlu disediakan di tempat-tempat yang berpotensi terjadinya bencana atau insiden yang melibatkan aktiviti air.

"Pastikan bot yang dinaiki mempunyai jaket keselamatan. Zon Maritim Lahad Datu turut memohon kepada orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat ataupun aduan berkaitan aktiviti yang mencurigakan di laut kepada Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam di talian 089-885727 atau di talian kecemasan 999," ujarnya.