Bukan hilang Islam kalau saya sertai Amanah - Izham

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Izham
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Izham
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor menafikan tindakan bekas ahli dan pemimpin Pas yang menyertai Amanah kerana takut kalah dalam pilihan raya.

Pengerusinya yang juga bekas pemimpin Pas, Ir Izham Hashim sebaliknya berkata, pemilihan parti merupakan hak individu dalam sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara.

"Itu hak kami, berdemokrasi dan bukanlah hilang Islam saya kalau saya (sertai) parti Amanah, jadi (pada) kami tidak ada isu timbul kalah atau menang (pilihan raya)," katanya dalam satu video dimuat naik di media sosialnya pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada hari pertama berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Simpang Jeram di Markas Pas Bakri, di Johor pada Ahad lalu.

Abdul Hadi seperti dilaporkan media mendakwa tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu menyertai Amanah adalah kerana takut kalah dalam pilihan raya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyifatkan mereka sebagai lemah semangat sehingga sanggup meninggalkan dasar perjuangan Pas.

Dalam pada itu, Izham menyifatkan kenyataan Presiden Pas itu seolah-olah menunjukkan terdapat perasaan dendam pemimpin terbabit terhadap Amanah.

"Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ini dari dahulu beliau macam berdendam terhadap Parti Amanah Negara.

Artikel Berkaitan:

"Parti-parti politik ini kalau hendak guna Islam sebagai asasnya, bukalah parti banyak mana pun (namun ia) bergantung kepada pengundi dan rakyat untuk memilih mana-mana parti.

"Mana parti yang bagus rakyat akan ikut, tiada dalam kitab mana pun parti Islam ini ada satu sahaja, parti ini benda baharu jadi tidak usahlah kita berdendam," kata Izham.

Ujar Izham lagi, mereka memilih Amanah kerana yakin dengan dasar perjuangan parti itu untuk membina negara lebih baik berasaskan kepada Islam sebenar dan bukan Islam seperti dituntut Pas.

"Yang dia itu parti Islam, tapi maki-hamun, mengadu domba dan fitnah orang lain. Pas (sebenarnya) sudah lari jauh lari dari Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W," tambahnya.