Isu 3R ketika pilihan raya perlu dikawal

No Image Caption
A
A
A

ISU melibatkan 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Diraja) seolah-olah masih lagi belum tamat dan dimainkan semula oleh pihak-pihak tertentu termasuk ahli politik ketika berkempen.

Pada Isnin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan sebanyak 88 kes berkaitan isu 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Diraja) disiasat oleh polis sejak Januari lalu.

Mohd Shuhaily berkata, masyarakat di negara ini disarankan untuk bijak dan matang dalam membuat kenyataan serta berkongsi apa juga pautan melalui media sosial.

Keadaan itu agak membimbangkan lebih-lebih lagi negara masih lagi berdepan dengan pilihan raya kecil (PRK) ketika ini.

Terbaharu pada Sabtu, kecoh apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan yang dipercayai mempunyai unsur 3R ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas Pas Kawasan Bakri yang mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.

Menurut Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya Lembaga Pengampunan.

Susulan itu, polis mengesahkan akan memanggil Abdul Hadi berhubung ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) itu pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah menghubungi Abdul Hadi untuk mempertimbangkan masa sesuai untuk dirakam keterangan.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas itu dilihat menyentuh sentimen 3R yang mana tidak sepatutnya seseorang individu itu melontarkan pandangan sewenang-wenangnya.

Sama ada melalui platform media sosial atau pentas kempen politik, sentimen 3R amat sensitif bahkan, pihak polis telah mengingatkan semua pihak supaya tidak menyentuh isu-isu berkenaan.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah, Muhammad Faiz Fadzil turut menyifatkan tindakan Abdul Hadi yang mempertikaikan Lembaga Pengampunan itu sebagai satu kenyataan yang tidak berasas.

Muhammad Faiz turut mendakwa, Abdul Hadi sengaja membuat kenyataan itu untuk memfitnah parti pemerintah atas nama sentimen agama.

Tambahnya, Abdul Hadi sedar bahawa Lembaga Pengampunan adalah kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan dan kepada sultan atau raja bagi negeri.

Sementara itu, orang ramai disarankan supaya tidak membuat spekulasi atau tanggapan sendiri berhubung isu tersebut dan membiarkan siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Meskipun isu 3R dilihat sebagai isu yang dimainkan setiap kali kempen pilihan raya namun ia tidak boleh dibiarkan kerana sentimen seperti itu boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan.

Kesannya akan dirasai oleh masyarakat dan negara itu sendiri. Oleh itu, pihak berkuasa perlu lebih tegas memperketatkan undang-undang supaya isu atau sentimen 3R terutamanya ketika pilihan raya dapat dikawal serta tidak dijadikan mainan provokasi oleh mana-mana pihak.