KPT letak KPI bagi universiti bekerjasama dengan TDA

Mohamed Khaled (tiga dari kiri) pada gimik perasmian selepas majlis menandatangani MoU antara KPT dan TDA di UTHM kampus cawangan Pagoh hari ini. - Foto Bernama
Mohamed Khaled (tiga dari kiri) pada gimik perasmian selepas majlis menandatangani MoU antara KPT dan TDA di UTHM kampus cawangan Pagoh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meletakkan indeks prestasi utama (KPI) kepada universiti yang mengadakan kerjasama dengan Technology Depository Agency (TDA), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan, dalam usaha pembangunan makmal bagi tujuan penyelidikan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, KPI berkenaan adalah bertujuan memastikan pihak kementerian mengetahui hasil penyelidikan yang dibuat oleh universiti terlibat sebelum dikembangkan secara menyeluruh.

Beliau berkata, antara universiti awam yang memiliki makmal di bawah kerjasama dengan TDA ini adalah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Bagi pihak kementerian, kami mengharapkan supaya universiti ini betul-betul memanfaatkan kerjasama berkenaan, sebab ini akan membantu meningkatkan kapasiti dan kekuatan untuk melakukan penyelidikan.

"Universiti terlibat seterusnya merangka, merancang pengetahuan yang boleh dikembangkan,” katanya kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara KPT dan TDA di UTHM Pagoh, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, MoU yang ditandatangani pada hari ini, UTHM menerima manfaat daripada TDA apabila dua makmal di universiti berkenaan mendapat kerjasama pemindahan teknologi dan kepakaran, melibatkan pembangunan perkakasan peranti, perisian serta pemindahan teknologi dan pengetahuan dalam bidang keselamatan siber dan sektor rel.

"Makmal EDEN misalnya, akan memberi penekanan kepada pemindahan kepakaran dalam sektor rel khususnya untuk mengadaptasi real operation environment bagi projek MRT Laluan Putrajaya,” kata beliau.

Tambah beliau kedua-dua inisiatif itu dianggarkan melibatkan pelaburan RM52.27 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan: