Kes batuk kokol tidak seteruk seperti disangka

Kanak-kanak yang mendapat pelalian lengkap hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi jika dijangkiti. - Gambar hiasan 123RF
Kanak-kanak yang mendapat pelalian lengkap hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi jika dijangkiti. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

Hujung minggu lalu, satu kenyataan media oleh Ketua Pengarah Kesihatan Pahang, Dr Nor Azimi Yunus dikeluarkan berhubung kes jangkitan Pertussis atau dikenali sebagai batuk kokol.

Bagaimanapun, ia menjadi tular selepas ada pihak menjadi ‘penambah perisa’ menokok tambah sehingga mengganggu ketenteraman awam. Masakan tidak, si penambah perisa itu menyatakan agar tidak mengunjungi Rompin, Pahang kerana dikatakan Pertussis sedang merebak di sana.

Kenyataan salah dan mengelirukan itu pantas tersebar ke seluruh pelosok Malaysia melalui pelbagai aplikasi media sosial. Sebagai individu dalam industri media, saya meneliti maklumat tersebut dengan cermat dan mendapatkan jawapan daripada pihak yang sepatutnya.

Pertussis ialah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella Pertussis dengan kuman disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung serta tekak.

Ia boleh dielakkan dengan pemberian imunisasi kepada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan. Kanak-kanak yang mendapat pelalian lengkap hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi jika dijangkiti.

Pertussis merupakan batuk yang berpanjangan dalam tempoh hingga dua minggu dan boleh berlarutan sehingga dua bulan. Batuk yang teruk dan berpanjangan itu menyebabkan pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas dan kekurangan oksigen, seterusnya boleh mengakibatkan sawan.

Komplikasi teruk seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian juga boleh berlaku jika tidak mendapat rawatan awal.

Di Malaysia, wabak tersebut berada dalam fasa endemik. Ia bukan baru muncul kerana pada tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19 menyerang, wabak itu telah dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Norhayati Rusli yang saya temui pada Selasa lalu menyatakan, situasi jangkitan Pertussis tidaklah seburuk seperti disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Malah, Dr Norhayati menasihati semua agar usah bimbang kerana wabak tersebut adalah terkawal. Sebenarnya jangkitan Pertussis bukan hanya berlaku di Rompin, sebaliknya seluruh negara kecuali Perlis yang tiada kes dilaporkan.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, sebanyak 329 kes Pertussis melibatkan 23 kematian dilaporkan tahun ini sehingga Sabtu lalu.

Sabah merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 181 kes. Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 219 kes atau 66.6 peratus melibatkan warganegara, sementara 110 kes (33.4 peratus) lagi melibatkan warga asing.

Bayi berumur 12 bulan ke bawah adalah kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 189 kes.

Oleh itu, jika ada anak-anak yang belum mendapatkan vaksin, ibu bapa atau penjaga boleh membawa mereka ke klinik kesihatan terdekat untuk mendapatkan imunisasi lengkap mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan.

Di negara kita, vaksin Pertussis diberikan kepada kanak-kanak secara rutin dalam bentuk vaksin kombinasi enam serangkai iaitu difteria, tetanus, Pertussis, polio, Hepatitis B dan Haemophilus influenzae type b. Selain melindungi kesihatan diri dan keluarga, setiap individu juga perlu bertanggungjawab ‘menahan tangan serta mulut’ daripada menyebarkan sesuatu yang tidak tepat!

Perlu diingat, sebarang per-kongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Sudah ramai pihak yang menyebarkan berita palsu diheret ke mahkamah, adakah anda yang seterusnya?

* Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian