Wabak batuk kokol libat 4 sekeluarga termasuk bayi di Alor Gajah

Ngwe Hee Sam - Foto fail Bernama
Ngwe Hee Sam - Foto fail Bernama
A
A
A

MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengesahkan terdapat satu wabak pertussis atau batuk kokol yang dilaporkan di daerah Alor Gajah pada Jumaat.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sam berkata, kes direkodkan itu membabitkan empat daripada 16 ahli keluarga yang tinggal serumah.

Menurutnya, kes pertama melibatkan seorang bayi berusia 40 hari yang masih belum layak menerima imunisasi DTAP-IPV-Hep B-Hi yang kemudian menular dalam kalangan ahli keluarga lain iaitu bapa berusia 29 tahun, kakak sembilan tahun dan bapa saudara berusia 32 tahun.

"Kesemua pesakit telah diberikan rawatan dan berada dalam keadaan stabil termasuk bayi berkenaan.

"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah telah menjalankan aktiviti pengesanan kes secara aktif dalam kalangan kontak rapat yang telah dikenal pasti seperti keluarga, rakan sekolah dan sekitar kawasan kediaman kes," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, semua kontak rapat yang bergejala akan diberikan rawatan prophlaxis dan pengambilan sampel turut dilakukan.

Jelas beliau lagi, sebanyak 10 kes pertussis telah dilaporkan di Melaka dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini dan tiga wabak melibatkan ahli keluarga.

Ujar beliau, daripada jumlah 10 kes pertussis yang dilaporkan, empat kes (40 peratus) adalah bayi berusia bawah 12 bulan dan merupakan kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi.

"Bagaimanapun, tiada kes dan wabak yang dilaporkan dalam tempoh sama pada tahun lalu," katanya lagi.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan kenyataan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman bahawa tiada kelas yang ditutup dan setakat ini hanya 10 murid di sebuah sekolah rendah menjalani ujian saringan yang dilakukan PKD selepas mengalami gejala batuk.

Menurutnya, keputusan sama ada murid berkenaan positif pertussis atau sebaliknya belum diketahui dan ia akan diperoleh dalam minggu ini.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Klinik Kesihatan (KK) Durian Tinggal telah membuat pemeriksaan secara rambang kepada 10 pelajar itu dan mereka telah diberikan cuti," katanya.