Ahmad Zahid, Hamzah iring calon PRK Pulai

Ahmad Zahid bersama rombongan penyokong Kerajaan Perpaduan berarak bersama calon ke pusat penamaan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bharu.
Ahmad Zahid bersama rombongan penyokong Kerajaan Perpaduan berarak bersama calon ke pusat penamaan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bharu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi calon Kerajaan Perpaduan, Suhaizan Kaiat bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai hari ini.

Ahmad Zahid yang berbaju korporat BN bersama rombongan penyokong Kerajaan Perpaduan berarak bersama calon ke pusat penamaan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bharu pada jam 8.45 pagi.

Turut mengiringi calon, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta beberapa pemimpin Kerajaan Perpaduan.

Sepanjang perarakan, kumpulan merah-biru tua daripada Kerajaan Perpaduan itu turut mengibarkan bendera parti-parti dalam gabungan itu selain melaungkan takbir serta slogan "Kerajaan Perpaduan” dan "Malaysia Madani”.

Hamzah mengiringi calon PN, Zulkifli di Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.
Hamzah mengiringi calon PN, Zulkifli di Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Sementara itu, bagi pihak Perikatan Nasional (PN), Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta beberapa pemimpin bersama penyokong PN hadir mengiringi calon mereka, Zulkifli Jaafar.

Suhaizan merupakan calon pertama yang tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.45 pagi diikuti Zulkifli jam 8.46 pagi dan Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi yang akan bertanding sebagai calon Bebas pada jam 8.50 pagi.

Suasana di pekarangan pusat penamaan calon juga 'hangat' dan meriah dengan sorakan penyokong daripada setiap parti politik selain membawa sepanduk dan bendera sebagai simbolik solidariti bersama calon.

Bagi menjamin kelancaran serta keselamatan, sebanyak 2,500 anggota dan pegawai polis ditugaskan di sini termasuk memasang penghadang serta kawat berduri bagi memisahkan kumpulan parti politik serta mengelakkan sebarang konfrontasi dan provoksi antara kumpulan itu.

Sementara itu di MUAR, calon Amanah yang mewakili gabungan BN-PH (Pakatan Harapan) Nazri Abdul Rahman tiba di pusat penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim kira-kira jam 9.05 pagi.

Nazri yang juga Timbalan Ketua Amanah Bakri diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden Amanah, Adly Zahari.

Turut hadir mengiringi Nazri ialah Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin daripada DAP.

Terdahulu, Nazri bersama kira-kira 1,000 penyokong yang memakai pakaian parti berwarna merah dan biru, berarak sejauh 800 meter di sepanjang jalan menuju ke pusat penamaan, sambil melaungkan "Kerajaan Perpaduan".

Dalam pada itu, calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya tiba kira-kira jam 9 pagi di pusat penamaan, diiringi Pesuruhjaya Pas Johor Abdullah Hussin.

Proses penamaan calon bermula jam 9 pagi tadi dan calon-calon mempunyai tempoh sejam hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 September, diikuti hari pengundian 9 September. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram bermula hari ini

Pusat penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram dibuka 9 pagi ini

PRK: Hampir 1,000 penyokong iringi calon PN

Ahmad Zahid, Hamzah iring calon PRK Pulai