Satu kesalahan jika pegawai awam gagal hadiri prosiding PAC - KSN

Mohd Zuki
Mohd Zuki
A
A
A

PUTRAJAYA - Kegagalan mana-mana pegawai kerajaan yang sedang berkhidmat atau bersara menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) merupakan satu kesalahan kerana menghina Majlis Parlimen, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohd Zuki berkata, kegagalan mana-mana individu termasuk pegawai kerajaan yang sedang berkhidmat atau bersara dalam mematuhi arahan PAC menghadiri prosiding merupakan kesalahan di bawah seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347].

Beliau berkata, PAC sememangnya mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana individu untuk hadir di hadapannya atau meminta individu berkenaan untuk mengemukakan apa-apa surat, rekod atau penyata kepada PAC dari semasa ke semasa selaras dengan Peraturan 77(5) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Dalam memberikan keterangan di prosiding PAC, mana-mana individu termasuklah mana-mana pegawai kerajaan yang sedang berkhidmat atau telah bersara adalah tertakluk kepada undang-undang yang sedang berkuat kuasa," katanya.

Ini termasuklah Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88], Akta Keterangan 1950 [Akta 56] dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709], serta tidak melibatkan perkara-perkara yang sedang dalam prosiding mahkamah, katanya.

Mohd Zuki berkata, cadangan Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin supaya suatu mekanisme diwujudkan oleh kerajaan agar semua pegawai kerajaan dan bekas pegawai kerajaan termasuklah pegawai pengawal dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian mematuhi arahan PAC menghadiri mana-mana prosiding PAC bagi memberi keterangan, diambil perhatian.

Beliau berkata, setiap anggota perkhidmatan awam yang dipanggil untuk ke prosiding PAC adalah untuk memberi keterangan, penjelasan atau apa-apa maklumat yang diperlukan bagi prosiding tersebut dan mereka sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama bagi tujuan tersebut.

Bagi pegawai kerajaan yang sedang berkhidmat, Mohd Zuki berkata suatu garis panduan "Memberi Keterangan Kepada Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat: Garis Panduan Untuk Pegawai Awam” telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 21 Mac 2023 untuk memberi penjelasan dan panduan dalam memberi keterangan di hadapan mana-mana jawatankuasa pilihan dalam Dewan Rakyat termasuklah PAC.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Mas Ermieyati mendedahkan terdapat bekas KSU dan bekas pegawai pengawal enggan menghadiri prosiding PAC bagi mendapatkan keterangan terhadap isu yang timbul ketika mereka menerajui sesuatu kementerian, jabatan atau agensi kerajaan. - Bernama