Pelari Kura-Kura lari 200km sebar bahaya obesiti

Dari kiri: Syed Zulkanain, Muhamad Muhsin, Muhd Azizi dan Anuar Ahmad antara pelari yang akan menyertai larian sejauh 200 kilometer ke Ipoh, Perak.
Dari kiri: Syed Zulkanain, Muhamad Muhsin, Muhd Azizi dan Anuar Ahmad antara pelari yang akan menyertai larian sejauh 200 kilometer ke Ipoh, Perak.
A
A
A

SHAH ALAM - Bagi memupuk kesedaran masalah obesiti yang meningkat dalam kalangan masyarakat hari ini, lima individu yang menggelarkan diri mereka sebagai Pelari Kura-Kura akan melakukan larian sejauh 200 kilometer (km) selama 40 jam pada 4 September depan.

Ketuanya, Anuar Ahmad berkata, larian berkonsepkan survival mode itu akan bermula jam 3 pagi di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan berakhir pada jam 12 tengah malam di Dataran Ipoh, Perak.

Menurut Anuar, larian tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai aktiviti yang boleh mengurangkan kadar obesiti yang semakin meningkat.

ANUAR AHMAD
ANUAR AHMAD

“Peratusan obesiti di negara ini sangat tinggi, maka acara dilakukan ini dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat terlibat sama.

“Ini kerana, larian merupakan antara senaman jantung paling efektif, sekali gus mampu mengurangkan peratusan obesiti dalam negara.

“Kami bukan sahaja melakukan larian semata-mata, malah turut mengedarkan risalah kepada orang ramai sepanjang laluan dari titik permulaan sehingga ke destinasi terakhir,” katanya ketika perjumpaan bersama Sinar Harian di sini pada Rabu.

Terdahulu, Pelari Kura-Kura adalah sebuah kumpulan ditubuhkan sejak setahun lalu memberi fokus terhadap masyarakat yang mengalami obesiti untuk mula mengamalkan gaya hidup sihat dengan senaman.

Artikel Berkaitan:

Lima wakil pelari kumpulan yang akan menyertai acara bersejarah itu ialah Anuar Ahmad, 29, Syed Zulkanain Syed Mizuri, 34, Muhamad Muhsin Zaidi, 34, Muhd Azizi Mansur, 44, dan Ahmed Syipulizan Abdullah Zawawi, 45.

Tambah Anuar, acara itu tidak melibatkan bantuan daripada mana-mana pihak sama ada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kementerian atau jabatan berkaitan kewangan, keselamatan dan kesihatan.

“Kami membuat persediaan secara individu dari segi ubat-ubatan, kit kecemasan, laluan dan sebagainya tanpa membabitkan mana-mana pihak kerana larian ini bukan dalam skala besar,” ujarnya.

Menurut Anuar, kumpulan tersebut masih dalam perancangan membawa acara itu ke peringkat lebih besar dengan pembabitan lebih ramai peserta pada masa akan datang.