Bekas Timbalan Pengurus Besar PPK Sepang didakwa terima suapan

Bekas Timbalan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sepang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM4,800 berkaitan Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021. - Gambar hiasan
Bekas Timbalan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sepang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM4,800 berkaitan Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Timbalan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sepang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4,800 berkaitan Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021.

Mohd Asyraf Mohd Fauzi, 36, didakwa sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi Gred E29 di PPK Sepang ketika itu, telah memperoleh suapan iaitu wang tunai RM4,800 daripada seorang lelaki berumur 39 tahun melalui akaun CIMB miliknya.

Ia sebagai dorongan bagi dirinya membantu Syarikat Giching Maju Enterprise mendapatkan kerja-kerja pembersihan dan pembekalan anak benih tebu telur berhubung Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021: Projek Pertanian Organik Tebu Telur daripada PPK Sepang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Sentul Raya di sini, pada 10 Nov 2021 hingga 31 Dis 2021, mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sehingga kes selesai.

Peguam Saleh Ahmad yang mewakili Mohd Asyraf memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya yang kini bertugas sebagai Pengurus Besar PPK Gombak, perlu menyara isteri dan empat anak.

"Anak guam saya telah membayar jaminan RM8,000 bagi dua pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan beliau tidak mampu membayar wang jaminan RM20,000 yang dicadangkan itu,” kata Saleh dan memaklumkan anak guamnya tidak mempunyai pasport.

Irna Julieza kemudian memohon kes itu dipindahkah ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama dua lagi pertuduhan yang dihadapi tertuduh dan tiada bantahan daripada peguam.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa jika ada, dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sebulan sekali sehingga kes selesai.

"Mahkamah juga membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicara bersama dua lagi kes yang dihadapi tertuduh,” katanya.

Pada 11 April lepas, Mohd Asyraf mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan meminta suapan wang berjumlah RM6,000 membabitkan program sama. - Bernama